ALOR SETAR: Seorang anggota polis cedera di tangan kanannya terkena pisau ketika bergelut dengan seorang tokan dadah yang cuba menikamnya di Kampung Baru Tepi Laut, Kuala Sanglang di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 6.55 petang apabila sepasukan anggota polis menahan kereta Proton Iswara dipandu suspek di tempat kejadian.
Katanya, sebaik anggota polis menunjukkan kad kuasa dan mengarahkannya keluar dari kenderaan dipandu, suspek berusia 38 tahun segera menghidupkan enjin kereta dan melanggar dua kenderaan polis selain menggilis kaki salah seorang anggota.
“Dalam usaha mempertahankan diri, beberapa das tembakan telah dilepaskan ke arah tayar Proton Iswara terbabit menyebabkannya terbabas ke sawah dengan suspek lalu keluar dari kenderaannya dan cuba melarikan diri.
“Akibat tindakannya itu berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis yang digilis kakinya itu.
“Pada ketika itulah, suspek mengeluarkan sebilah pisau dan cuba menikam anggota berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, anggota polis berkenaan bagaimanapun berjaya mempertahankan diri namun pisau tersebut terkena bahagian belakang tapak tangan kanannya.
Tambahnya, anggota tersebut yang berusia 31 tahun segera dibawa ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.
“Suspek pula berjaya ditahan dan pemeriksaan dalam poket seluarnya telah menemukan dadah jenis syabu,” katanya
Tambahnya, semakan lanjut mendapati suspek memiliki 10 rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB1952 bagi kesalahan dadah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. -UTUSAN ONLINE










