Van simpan arak hampir RM1 juta dirampas - Utusan Malaysia

Van simpan arak hampir RM1 juta dirampas

PASUKAN PPM Pelabuhan Klang menunjukkan van dan arak tidak bercukai yang dirampas dalam operasi serbuan di kawasan parkir Taman Kim Chuan, Pandamaran di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kelicikan seorang warga India menjadikan lima van lama sebagai stor simpanan arak tidak bercukai bernilai hampir RM1 juta tumpas selepas ditahan pihak berkuasa semalam.

Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan menyimpan minuman berkenaan sebelum menjualnya kepada pembeli.

Taktik itu bagaimanapun terbongkar apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang di kawasan parkir Taman Kim Chuan, Pandamaran di sini, kira-kira pukul 3 petang.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Asisten Komisioner Mohd. Shamsol Kassim berkata, perkara itu dihidu sepasukan anggota yang menjalankan Op Kontraband di sekitar taman perumahan berkenaan.

Katanya, hasil pemantauan mendapati seorang lelaki dilihat mencurigakan sedang membuka sebuah van di kawasan parkir.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki warga India itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan tiada bahan salah ditemukan dalam van berkenaan.

“Namun, hasil siasatan membawa kepada penemuan lima van di lokasi sama yang menempatkan pelbagai jenis arak tidak bercukai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Shamsol menambah, pihaknya merampas 4,125 tin dan botol arak yang dianggarkan berjumlah RM943,346 termasuk nilai cukai.

“Enam van bernilai RM60,000 turut disita dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,003,346. Kesemuanya dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Jelasnya lagi, siasatan awal pihaknya mendapati kegiatan itu beroperasi sejak tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita akan mengesan kumpulan atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti haram berkenaan. Selain itu, kita masih menyiasat mengenai van lama berkenaan yang dipercayai dibeli untuk dijadikan stor dan tidak mempunyai cukai jalan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN