SEGAMAT: Penahanan tiga lelaki yang dipercayai pengedar dadah membawa kepada penemuan bahan terlarang terbabit bernilai lebih RM9,275.00 dalam satu serbuan di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Bahrin Mohd. Noh berkata, tiga suspek berusia 22, 30 dan 45 tahun ditahan dalam operasi bermula pukul 11 pagi.
“Tangkapan dilakukan di sebuah bilik kediaman sewa sekitar Taman Utama di Bandar Segamat hasil risikan sejak beberapa hari lalu.
“Rampasan membabitkan wang tunai sebanyak RM852, ganja seberat 88.80 gram, heroin 81.90 gram, syabu 37.70 gram juga pil erimin 5 sebanyak lima biji selain beberapa unit telefon bimbit.
“Kesemua suspek memiliki 15 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah pecah rumah ” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat hari ini.
Bahrin berkata, pihak polis percaya dengan penahanan ketiga-tiga suspek itu yang baru tiga hari menyewa bilik sewaan sebagai ‘markas operasi’ dapat menumpaskan pengedaran dadah di Segamat dan kawasan berhampiran.
Tambahnya, kesemua dadah dirampas boleh digunakan oleh 800 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.- UTUSAN










