'Mat gian' pecah masuk PPV diberkas - Utusan Malaysia

‘Mat gian’ pecah masuk PPV diberkas

CYRIL Edward Nuing (tiga dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas hasil tangkapan suspek pecah masuk PPV Dewan Jubli Intan pada sidang akhbar di IPD Mersing, Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang penagih dadah yang sanggup berulang-alik mengangkut hasil curi menaiki motosikal selepas memecah masuk Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Mersing, di sini, baru-baru ini akhirnya ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyril Edward Nuing berkata, dengan tertangkapnya suspek berusia 33 tahun itu juga berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah dan kedai dengan jumlah kerugian dianggarkan RM60,400.

Katanya, suspek ditahan di rumahnya di Kampung Sri Lumpur selepas serbuan dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing pada Khamis lalu.

“Aduan berkenaan kejadian pecah bangunan di PPV tersebut diterima pada 16 Oktober lalu yang melibatkan kerugian kira-kira RM4,900.

“Hasil serbuan di rumah suspek menemukan barangan dipercayai dicuri dari PPV berkenaan iaitu dua buah monitor dan sebuah CPU jenama HP, sebuah televisyen berjenama Hisense, sebuah stand monitor dan sebuah portable aircond jenama Midea.

“Suspek dipercayai berulang alik ke PPV tersebut untuk mengangkut barangan curi berkenaan menaiki motosikalnya,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Mersing, di sini hari ini.

Cyril Edward berkata, polis turut merampas pelbagai barangan lain yang disyaki hasil jenayah yang dilakukan suspek di tempat lain.

Katanya, semasa tangkapan dilakukan, polis juga menemukan dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat 0.49 gram dan methamphetamine dianggarkan 0.22 gram.

“Hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, semakan juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau bagi kes jenayah dan lapan bagi kes narkotik.

“Dengan tertangkapnya suspek pihak polis percaya dapat menyelesaikan kes pecah rumah dan kedai di daerah ini yang dilaporkan sepanjang tahun ini,” katanya.

Sementara itu, suspek yang kini direman selama tujuh hari sehingga esok dipercayai melakukan kegiatan itu bersama beberapa rakan sejenayah lain yang sedang kenal pasti pihak polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan: Seksyen 379A kanun sama; Seksyen 12(3); Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 38B di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya