14 ketul heroin bernilai RM492,000 dirampas - Utusan Malaysia

14 ketul heroin bernilai RM492,000 dirampas

KAMARUL Zaman Mamat (dua kanan) menunjukkan sebahagian dadah dan barangan rampas di IPK Kedah di Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebanyak 14 ketulan mampat heroin base seberat 5.21 kilogram (kg) bernilai hampir RM492,000 berjaya dirampas polis menerusi empat tangkapan berasingan melibatkan lima lelaki di Sungai Petani, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lima lelaki yang berusia antara 21 hingga 36 tahun itu ditahan bermula  dari pukul 4.40 hingga 4.45 petang. 

Menurutnya, tangkapan pertama melibatkan dua lelaki berusia 21 tahun selepas menahan sebuah kereta di tepi jalan dekat Taman Cindai Jaya, Sungai Petani.

“Pemeriksaan dalam kenderaan telah menemukan lapan ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan kertas minyak berwarna coklat berisi bahan disyaki dadah jenis heroin base, seberat kira-kira 2.97 kilogram.

“Selain itu, polis turut menemukan sebuah kotak di bahagian but kereta mengandungi bahan kimia yang keseluruhannya seberat kira-kira 26 kg,” katanya  pada sidang akhbar di IPK Kedah di sini hari ini.

Beliau memberitahu, polis selepas itu menahan sebuah motosikal di lokasi sama dan menangkap seorang lagi lelaki berusia 29 tahun dan susulan itu pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah di Taman Raja, Sungai Petani dan pasukan operasi menemukan enam ketulan mampat disyaki dadah jenis heroin base seberat kira-kira 2.24 kg.

“Tangkapan suspek keempat berusia 33 tahun turut dibuat di lokasi sama setelah pihak kami menahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi manakala tangkapan terakhir dilakukan terhadap seorang tukang paip berusia 36 tahun, di depan sebuah rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani,” katanya.

Kamarul Zaman menambah, heroin base tersebut dipercayai disediakan untuk pasaran di negeri-negeri utara tanah air dengan pihaknya tidak menolak kemungkinan ada lebih ramai individu yang terlibat.

“Mungkin ada ahli sindiket-sindiket lain yang terlibat kerana heroin base ini perlu diproses sebelum dipasarkan kepada para penagih. Bahan kimia yang dirampas itu dipercayai untuk kegunaan bagi memproses heroin base tersebut.

“Jadi, kita masih melakukan siasatan dan memburu saki-baki mereka yang terlibat. Dadah ini jika terlepas ke pasaran boleh digunakan oleh kira-kira sejuta penagih,” katanya.

Katanya, pihaknya turut menyita tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Vios, sebuah Perodua Myvi dan motosikal jenis Honda Wave, serta wang tunai berjumlah RM74,800 bagi menjalankan siasatan.

“Ujian urin ke atas semua suspek mendapati mereka negatif dadah. Semakan mendapati tiga daripada individu ditahan memiliki rekod lampau dengan ada antara mereka mempunyai hingga 12 rekod lalu.

“Kesemua mereka direman selama tujuh hari hingga 18 Oktober depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN