Polis cari dua individu kes jual tanah jutaan ringgit - Utusan Malaysia

Polis cari dua individu kes jual tanah jutaan ringgit

DUA individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes penjualan dan tukar hak milik tanah di Seremban.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua individu dikehendaki polis bagi membantu menyelesaikan dua kes membabitkan penjualan dan pindah milik tanah masing-masing berjumlah RM24 juta dan RM3 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd. Ghani berkata, kes pertama membabitkan tanah di Bandar Seremban 3 seluas 7.024 hektar yang telah dipindah milik kepada individu lain iaitu individu yang dikehendaki bagi membantu siasatan, Tay Hock Seng, 54, yang beralamat di Sungai Bakap, Kedah.

Ia susulan seorang penolong pengurus besar sebuah syarikat hartanah di Kuala Lumpur membuat laporan di Balai Polis Jalan Campbell pada 16 Julai lalu, selepas hasil semakan pada 14 Jun mendapati tanah milik syarikat di Bandar Seremban 3 telah dipindah milik kepada individu tidak dikenali.

“Penolong pengurus besar syarikat hartanah berusia 51 tahun berkenaan telah membuat semakan di Pejabat Tanah dan Galian Seremban dan mendapati tanah tersebut telah dipindah milik melalui Borang 14A yang dibuat pada 14 Januari lalu dengan bayaran RM1.8 juta.

“Semakan tanda tangan dua orang pengarah syarikat yang terdapat di dalam borang tersebut juga disyaki telah dipalsukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Aibee, penolong pengurus besar syarikat hartanah berkenaan juga telah membuat semakan terhadap firma guaman yang menguruskan penjualan serta pindah nama berkenaan namun didapati pejabat peguam berkenaan tidak wujud.

“Susulan itu syarikat hartanah berkenaan telah mengalami kerugian sekitar RM24 juta mengikut nilai semasa tanah,” katanya.

Bagi kes kedua pula, individu bernama Lee Chee Boon, 41, beralamat di Pulau Pinang kini dikehendaki polis membabitkan kes penjualan dan pindah milik dua bidang tanah milik sebuah syarikat swasta lain di mukim Linggi Port Dickson.

“Pengarah syarikat berusia 50 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Port Dickson 2 Jun lalu apabila mengetahui dua bidang tanah syarikat berkeluasan kira-kira lapan hektar telah dijual oleh suspek yang merupakan bekas pengarah syarikat, kepada satu individu yang tidak dikenali. 

“Semakan telah dibuat oleh pekerja syarikat berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Seremban dan mendapati tanah telah dijual dan dipindah milik melalui Borang 14 A bertarikh 22 Disember 2016,” katanya.

Walau bagaimanapun menurutnya, bekas pengarah syarikat itu telah pun meletakkan jawatan pada 12 Januari 2016 dan tidak mempunyai kuasa mewakili syarikat untuk menjual tanah tersebut.

“Susulan kes ini, mangsa telah mengalami kerugian RM3 juta akibat daripada penjualan tanah tersebut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu, individu berkenaan diminta tampil ke balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai dua lelaki berkenaan boleh menyalurkannya kepada Asisten Superintendan Rosmaliah Khalit di talian 013-9443968 atau 06-7682222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya