SEREMBAN: Tempoh reman pelakon wanita dan suaminya yang disyaki terlibat dalam kes penipuan urusan mendapatkan tanah kurniaan kerajaan negeri Selangor yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian RM1.5 juta disambung hingga esok.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, perintah sambungan reman terhadap lelaki berusia 41 tahun dan wanita 35 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
“Sebelum ini kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula 5 Mac lalu hingga hari ini.
bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Reman tersebut kemudian disambung selama sehari lagi sehingga esok. Ia juga bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan anugerah pingat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini media melaporkan pasangan itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan bersama Balai Polis Batu 9 Cheras di Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.
Azahar berkata, kes tersebut melibatkan seorang pesara ahli perniagaan berusia 56 tahun yang mendakwa ditawarkan urusan mendapatkan beberapa lot tanah kurniaan kerajaan negeri Selangor.
Mangsa dipercayai telah membuat sebanyak 195 transaksi pembayaran bermula September 2023 hingga November 2025 sebelum menyedari tanah yang ditawarkan itu sebenarnya tidak wujud, menyebabkan kerugian berjumlah RM1,557,002.65. – UTUSAN








