120 PATI ditangkap dalam Op Benteng - Utusan Malaysia

120 PATI ditangkap dalam Op Benteng

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Operasi Benteng yang dijalankan pasukan keselamatan semalam di sempadan negara bagi mengekang penularan Covid-19 berjaya menangkap 120 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dirampas dalam operasi tersebut ialah tiga bot dan empat kenderaan darat. 

Menurut beliau, daripada jumlah itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan sembilan PATI di Pengkalan Kubor, Kelantan kerana memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak sah.

“Sementara di Teluk Penawar, Bandar Penawar, Johor, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan lima PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan di sempadan terutamanya lorong-lorong tikus,” katanya dalam laporan harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PDRM juga turut menahan 68 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dan daripada jumlah itu, seramai 66 individu telah dikompaun manakala dua direman. 

Katanya, antara kesalahan itu ialah 21 individu didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (18), tidak memakai pelitup muka (18), penjarakan fizikal (enam) serta gagal melunaskan bil kuarantin (tiga).

Kata beliau, sebanyak 3,123 pasukan pematuhan membabitkan 12,873 anggota telah membuat pemantauan melalui 59,899 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP. 

“Sehingga semalam, seramai 29,438 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 72 hotel dan lapan premis lain.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,737 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan selain 19,630 telah dibenarkan pulang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya