BALING: Pendidikan mengenai bahaya rasuah dan pembentukan nilai integriti perlu dimulakan sejak peringkat sekolah bagi melahirkan generasi yang tidak berkompromi dengan amalan memberi atau menerima suapan.
Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim berkata, masyarakat perlu mempunyai prinsip toleransi sifar terhadap rasuah kerana amalan itu bukan sahaja tidak boleh diterima, malah memberi kesan buruk kepada negara.
Beliau berkata, kebimbangan terhadap gejala itu turut didorong hasil satu kajian beberapa tahun lalu membabitkan pelajar dua universiti tempatan yang menunjukkan terdapat responden menganggap perbuatan memberi dan menerima rasuah sebagai sesuatu yang boleh diterima.
“Beberapa tahun lalu, satu kaji selidik dilakukan di dua universiti tempatan dan pelajar ditanya dua soalan, sama ada mereka sanggup memberi rasuah dan menerima rasuah.
“Keputusannya tidak baik kerana ramai yang mengatakan perkara itu boleh diterima. Jika kajian sama dilakukan hari ini, keputusannya mungkin lebih buruk kerana rasuah semakin berleluasa di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kewangan dan Perbankan Islam pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) Kali Ke-28, di sini, hari ini.
Azman berkata, sistem pendidikan perlu memainkan peranan lebih besar dalam mendidik kanak-kanak bahawa rasuah adalah perbuatan salah dan tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan.
Menurutnya, nilai asas seperti akauntabiliti, kejujuran, tanggungjawab dan integriti perlu diterapkan bagi membentuk individu yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah mempunyai akhlak serta etika yang baik.
Beliau turut mengingatkan graduan bahawa ijazah semata-mata tidak menjamin kejayaan sekiranya mereka gagal membina sahsiah seimbang, termasuk menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Dalam pada itu, Azman menegaskan penguasaan bahasa Inggeris juga penting, khususnya bagi graduan yang ingin membina kerjaya dalam sektor swasta.
Katanya, keupayaan berkomunikasi dalam bahasa berkenaan memberikan kelebihan kepada graduan untuk mengakses ilmu pengetahuan global serta bersaing dalam persekitaran pekerjaan yang semakin mencabar.
Sementara itu, Azman menghargai penganugerahan ijazah kehormat berkenaan dan berharap UniSHAMS terus berkembang sebagai institusi pengajian tinggi yang dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa. – UTUSAN











