PRN Sarawak: Abang Johari sahkan 4 penyandang kerusi GPS kekal - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: Abang Johari sahkan 4 penyandang kerusi GPS kekal

Abang Johari Abang Openg
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Empat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak disahkan kekal mempertahankan kawasan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13) Sarawak.

Perkara itu diumumkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg ketika berucap pada majlis pelepasan konvoi bermotosikal Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kampung Matang Batu 10, di sini, hari ini.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu secara berseloroh berkata, keempat-empat wakil rakyat terbabit akan terus bergelar Yang Berhormat (YB) sekali gus mengesahkan mereka kekal sebagai calon bagi mempertahankan kerusi masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, hari tok sik payah lah saya nak ngelakar banyak. Tapi saya nangga muka kitak empat tetap jadi Yang Berhormat lagi,” katanya dalam bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud ‘Hari ini tidak perlulah saya bercakap banyak. Tetapi saya melihat muka anda berempat tetap akan menjadi Yang Berhormat lagi’.

Empat penyandang berkenaan yang hadir pada program itu ialah Datuk Fazzrudin Abdul Rahman (Tupong), Datuk Ibrahim Baki (Satok), Datuk Hamzah Brahim (Stakan) dan Datuk Martin Ben (Kedup).

Turut hadir dan melepaskan konvoi 100 motosikal diketuai Abang Johari ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.

Fazzrudin yang mula menjadi ADUN Tupong pada 2016, bakal mempertahankan kerusi itu untuk penggal ketiga selepas memenanginya pada PRN11 dan PRN12.

Pada PRN12, beliau memperoleh 12,544 undi dengan majoriti 11,209 undi, menewaskan Ahmad Nazib Johari daripada PKR yang mendapat 1,335 undi dan Chan Haong Yen daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 836 undi.

Ibrahim pula mula dipilih sebagai ADUN Satok pada PRN12 selepas menggantikan Abang Johari yang sebelum itu menyandang kerusi berkenaan sebelum beralih bertanding di DUN Gedong.

Pada pilihan raya itu, Ibrahim memperoleh 6,991 undi dengan majoriti 6,033 undi, menewaskan Nor Irwan Ahmat Nor (PKR) dan Awang Badele Awang Ali (PBK).

Sementara itu, Hamzah yang pertama kali memasuki DUN selepas memenangi kerusi Stakan pada PRN12, memperoleh 7,854 undi dengan majoriti 5,807 undi.

Beliau menewaskan George Young Si Ricord Junior daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang memperoleh 2,047 undi, Leslie Ting Xiang Zhi (DAP) dengan 524 undi dan Atet anak Dego (PBK) yang mendapat 415 undi.

Martin pula mula dipilih sebagai ADUN Kedup pada PRN10 2011 dan sudah berkhidmat selama kira-kira 15 tahun, mempertahankan kerusi itu dalam tiga pilihan raya berturut-turut, termasuk PRN12 apabila memperoleh 5,178 undi dengan majoriti 3,566 undi.

Pada PRN12, Martin menewaskan Dominic Dado Sagin (PSB) yang mendapat 1,612 undi, Stephen Sungan (PBK) dengan 745 undi dan Learry Jabul (DAP) yang memperoleh 640 undi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini