KUCHING: Isu ‘brain drain’ iaitu pengaliran tenaga kerja profesional tempatan untuk bekerja di luar Sarawak sudah berlalu kerana semakin ramai rakyat Sarawak pulang ke tanah air untuk menyumbang tenaga dan kepakaran bagi pembangunan negeri ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari berkata, terdapat trend positif profesional Sarawak kembali bekerja di negeri ini berikutan ekonominya yang semakin meningkat.
“Ada seorang doktor yang bekerja di Singapura telah kembali ke Sarawak dan akan menjadi sebahagian daripada pasukan untuk menubuhkan hospital berkapasiti 300 katil yang memberi tumpuan kepada rawatan kanser dan neurosains.
“Selain itu, di Metro Sarawak juga ada seorang jurutera yang sebelum ini bekerja di Transit Aliran Ringan (LRT) dan sudah pulang ke Sarawak, manakala pakar semikonduktor yang berada di Taiwan juga kembali ke negeri ini,” katanya pada Majlis Sambutan Aidilfitri Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di sebuah hotel, di sini malam tadi.
Sementara itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Sarawak berkata, di bawah kepemimpinan beliau dalam tempoh tujuh tahun dengan kewujudan kestabilan politik dan perpaduan yang kukuh Sarawak telah menyaksikan lonjakan ketara dalam pembangunan ekonomi.
“Dalam tempoh empat tahun selepas pandemik COVID-19, saya dan rakan seperjuangan dalam kerajaan telah berjaya meningkatkan pendapatan Sarawak.
“Sebelum ini pendapatan negeri RM6 bilion dan menjelang 2022 ia meningkat kepada RM11 bilion, manakala pada 2023 ia mencapai rekod tertinggi RM13.3 bilion,” katanya dengan yakin bahawa angka tersebut akan terus meningkat.
Beliau berkata, mengikut pengiraan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pendapatan Sarawak mungkin mengatasi pendapatan tahun sebelumnya.
Katanya, pendapatan sedemikian seterusnya dilabur dalam pelbagai projek strategik yang akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak dan menyediakan peluang untuk aktiviti perniagaan baharu,” kata Abang Johari. – UTUSAN









