Memang tidak sangka muzik kami diterima baik di Indonesia - Kugiran Masdo

Memang tidak sangka muzik kami diterima baik di Indonesia – Kugiran Masdo

KUGIRAN MASDO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Gitar Rancak, Masdo menyifatkan perkembangan lagu-lagu mereka yang mula dimainkan beberapa stesen radio di Indonesia sebagai petanda positif terhadap penerimaan muzik mereka di negara berkenaan.

Vokalisnya, Ali Sariah, 34, berkata, perkembangan itu menjadi petanda positif terhadap perjalanan muzik mereka di Indonesia, terutama selepas berjaya mengadakan siri jelajah di Bandung, Jakarta dan Bali pada Ogos lalu.

Katanya, mereka tidak menyangka muzik yang dibawakan mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat di negara itu, malah peningkatan jumlah penstriman lagu di platform digital turut menguatkan keyakinan mereka untuk terus mengembangkan pasaran di sana.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang tidak disangka, muzik kami diterima baik oleh peminat Indonesia, sekali gus membuktikan bahawa penstriman lagu di platform digital meningkat luar biasa. Jadi, kami merasakan berbaloi untuk ke sana.

“Kehadiran kami di Indonesia untuk mengadakan persembahan ada hasilnya dan bukan sekadar muncul untuk membuat persembahan. Apatah lagi di sana, peminat banyak mendengarkan lagu sahaja,” katanya.

Menurut Ali, antara petanda paling jelas sesebuah lagu mendapat tempat dalam kalangan pendengar Indonesia adalah apabila ia mula dimainkan pengamen atau pemuzik jalanan.

“Pernah juga ketika kami sedang makan di sebuah kedai di sana, tiba-tiba ada orang datang membuat persembahan dengan menyanyikan lagu kami.

“Lucunya, dia langsung tidak tahu bahawa kami sebenarnya kumpulan yang menyanyikan lagu tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ali mengakui masih terdapat segelintir peminat di Indonesia yang menyangka mereka berasal dari negara berkenaan.

“Di Indonesia juga ada kumpulan yang menggunakan nama Masdddho, cuma mereka berasal dari Solo dan membawakan muzik dangdut.

“Jadi, apabila kami membuat persembahan di sana, mereka akan tahu bahawa kami merupakan band dan artis yang berbeza,” katanya.

Mengulas mengenai festival muzik yang dilihat lebih mengutamakan band antarabangsa, Ali berkata, anak seni tempatan perlu berusaha lebih keras lagi untuk membuktikan kemampuan mereka dan menarik perhatian penganjur acara.

“Apabila keadaan sudah jadi begitu, kita perlu melihat apa yang boleh ditawarkan sebagai sebuah band atau artis kepada penganjur acara dan pempromosi.

“Kita perlu buat kerja lebih keras untuk mencuri perhatian orang dan mendapatkan peluang membuat persembahan di festival besar.

“Lebih baik kita berfikir daripada sudut itu berbanding terus mengkritik atau menyalahkan pihak tertentu kerana membawa band luar. Saya rasa kita sendiri perlu melakukan sesuatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini