SHENZHEN: Malaysia terbuka untuk bekerjasama dengan semua negara termasuk China dalam pembangunan industri nadir bumi, tertakluk kepada peraturan ditetapkan serta syarat bahan mentah tidak dibenarkan dieksport.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan beliau dalam pertemuannya dengan Presiden China, Xi Jinping sebelum mengakhiri lawatan dua halanya pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33, semalam.
Katanya, dalam pertemuan dua hala kali keempat itu sejak menjawat jawatan tersebut turut menggesa pelaksanaan pelaburan dua hala antara negara ini dengan China dalam infrastruktur kritikal yang turut melibatkan projek bekalan dan pemindahan air Perak Utara supaya dipercepatkan.
Ini kerana, projek tersebut akan memberi manfaat kepada seluruh kawasan itu dan Pulau Pinang selain sistem kawalan sempadan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Anwar berkata, dalam pertemuan itu Malaysia juga berhasrat meningkatkan hubungan diplomatik dengan China menerusi perluasan kerjasama peringkat menteri yang turut membabitkan Kementerian Pertahanan dan Kementerian dalam Negeri.
“Ketika ini, hubungan kita dengan China sudah mencapai tahap yang agak optimum, diselaraskan oleh Kementerian Luar dan Duta Besar Malaysia di sini. Namun sekarang, kita mahu meningkatkannya ke tahap lebih tinggi.
“Jadi, wujud satu mekanisme kerjasama yang jarang dilaksanakan, mungkin hanya antara dua atau tiga negara iaitu mesyuarat berkala membabitkan tiga menteri secara serentak. Ia sudah tentu Menteri Luar, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita Malaysia selepas pertemuan itu di sini, semalam.
Tambahnya, kedua-dua negara turut membincangkan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta penyelidikan universiti.
Selain itu, Anwar memberitahu, China akan menghantar delegasi kanan bagi menghadiri majlis pelancaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Disember ini.
Lawatan berkenaan mengukuhkan hubungan erat Kuala Lumpur-Beijing, khususnya dalam bidang ekonomi, geopolitik dan kerjasama serantau.











