PETALING JAYA: Pelakon dan penggiat seni versatil, Arja Lee menegaskan pengacara perlu membuat persediaan rapi sebelum mengendalikan sesuatu acara, termasuk ketika mahu berjenaka atau bercakap secara spontan.
Arja atau Azharudin Ramli, 43, berkata, pengacara perlu memahami skrip yang disediakan supaya tidak tersasar ketika menyampaikan sesuatu perkara, terutama apabila berhadapan penonton secara langsung.
“Skrip yang baik sangat penting. Walaupun mahu melakukan ad-lib atau bercakap secara spontan, kita tetap memerlukan panduan yang betul.
“Sangat memalukan apabila perkara seperti ini berlaku pada malam anugerah yang dikatakan berprestij di Malaysia. Kemenangan di pentas antarabangsa sepatutnya menjadi kebanggaan bersama, bukannya bahan lawak atau sindiran.
“Pelajari, fahami dan hayati skrip anda. Penyampaian yang baik datang daripada persediaan yang baik,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Tambah Arja, dia turut mengingatkan pengacara lebih peka supaya tidak menjadikan isu sensitif sebagai bahan jenaka.
“Jadilah kreatif, sentiasa peka dan elakkan bermain-main dengan perkara sensitif. Boleh sahaja melakukan ad-lib, tetapi perlu mengkaji, memahami dan membuat persediaan dengan baik,” katanya.
Untuk rekod, pengalaman Arja dalam pengurusan acara membuktikan kepentingan persediaan skrip apabila dia pernah menggalas tugas sebagai Pengarah Persembahan dan Penulis Skrip Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA 2026).
Arja bertanggungjawab merancang konsep kreatif pentas bertemakan “Broadway Cara Kita” serta menulis skrip induk siaran (master broadcast script) bagi memastikan perjalanan majlis, persembahan dan visual selari dengan konsep yang ditetapkan. – UTUSAN











