GEORGE TOWN : Seorang wanita maut manakala anak perempuannya berusia enam tahun cedera selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Lembah Permai, Tanjung Bungah, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, mangsa berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya mengalami kecederaan di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhamad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu daripada orang awam kira-kira pukul 1.20 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal bersama anak perempuannya dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Hospital Pulau Pinang untuk pulang ke rumah mereka di Batu Ferringhi sebelum motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah SUV.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kemalangan itu, manakala anaknya mengalami kecederaan di bahagian dada dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Abdul Rozak berkata, SUV berkenaan dipandu seorang wanita tempatan berusia 33 tahun yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dash cam) diminta tampil membantu siasatan dan mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Shahid Othman menerusi talian 017-2670543. – UTUSAN











