PETALING JAYA: Genap setahun album sulungnya, Arissa diterbitkan, penyanyi rap, Hullera mengakui karya berkenaan banyak membantunya mengenali tentang sisi diri yang lebih tenang menerusi proses menghasilkan dan menyanyikan lagu-lagu di dalamnya.
Hullera berkata, album itu juga turut mengajarnya tentang erti memaafkan dan melepaskan sesuatu yang berlaku dalam hidup.
“Arissa mengajar saya banyak perkara tentang memaafkan dan melepaskan. Ada pelbagai keadaan yang memaksa kita untuk berkembang menjadi lebih baik,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Tambah penyanyi lagu Maafkan itu, pengalaman yang dilalui sepanjang proses itu turut mengajarnya untuk lebih berlembut dengan diri sendiri, terutama ketika berdepan pelbagai keadaan yang menuntutnya berubah.
“Proses yang saya lalui mengajar saya untuk lebih berlembut dengan diri sendiri. Saya sememangnya seorang yang mempunyai perwatakan intensif.
“Saya meneroka sisi diri yang membolehkan saya menemukan ketenangan dalam diri menerusi lagu-lagu ini. Saya berharap pendengar juga dapat menemukan ketenangan masing-masing apabila mendengar Arissa,” katanya.
“Alhamdulillah, Allah memberikan saya kasih sayang dan kekuatan untuk terus melakukan perkara ini,” katanya.
Untuk rekod, Hullera merupakan seorang penyanyi rap (femcee) dan penulis lagu hip-hop dari Malaysia yang mula dikenali menerusi siri 16 Baris.
Album sulungnya, Arissa mengandungi lapan buah lagu termasuk SAYONARA, Selalu, Lari, 10 Lelaki, Maafkan, Nota Untuk Diriku, Validate U, dan Andainya Aku Pergi Dulu. – UTUSAN











