Tangani buli bukan tanggungjawab guru sahaja

Tangani buli bukan tanggungjawab guru sahaja

ANWAR Ibrahim pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, semalam.-JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab menangani kes buli tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu guru dan pihak sekolah, sebaliknya memerlukan penglibatan lebih aktif semua pihak termasuk ibu bapa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu penting kerana sebahagian besar kehidupan pelajar dihabiskan di rumah, sekali gus menjadikan ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam membentuk akhlak, adab dan tingkah laku anak-anak.

Katanya, tanggungjawab mendidik dan membentuk sahsiah anak bukan hanya terletak pada guru, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa supaya nilai akhlak, adab serta sikap menghormati orang lain turut diterapkan secara berterusan.

“Apakah peranan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)? Peranan ibu bapa selain daripada guru dan sekolah, kerana banyak juga kejadian yang berlaku selepas waktu persekolahan.

“Banyak PIBG yang bergerak, tetapi kalau kita lihat, penyertaan ibu bapa agak terbatas sekali walaupun PIBG itu banyak,” katanya menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) di Dewan Rakyat semalam.

Dalam hal ini, Perdana Menteri turut mengusulkan supaya beberapa bantuan diserahkan secara terus kepada ibu bapa di sekolah bagi menggalakkan kehadiran mereka dan meningkatkan libat urus dengan guru.

Katanya, langkah itu sekurang-kurangnya dapat mewujudkan ruang interaksi lebih dekat antara ibu bapa dengan guru, selain meningkatkan penglibatan mereka dalam hal berkaitan pendidikan dan kebajikan anak-anak.

Menurut Anwar, sebanyak 5,681 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Namun katanya, angka sebenar mungkin lebih besar, mengambil kira kes buli dan salah laku disiplin di pusat pendidikan yang tidak dilaporkan berikutan ada pihak pentadbiran yang mahu menjaga imej sekolah masing-masing.

Beliau berkata, jumlah berkenaan menunjukkan perlunya kesedaran masyarakat dan ibu bapa terus dipertingkatkan bagi membantu mengekang pelbagai bentuk buli.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menggesa supaya kes buli dan isu keselamatan di sekolah tidak disembunyikan semata-mata untuk menjaga imej sekolah, sebaliknya perlu dilaporkan bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Katanya, terdapat keadaan pihak sekolah atau keluarga enggan melaporkan kejadian kerana bimbang ia menjejaskan imej sekolah, sedangkan pendekatan itu akhirnya boleh memudaratkan murid yang menjadi mangsa.

Anwar turut berkata, tindakan segera perlu diberi perhatian dalam menangani isu buli dan keselamatan murid, sambil mengakui terdapat kelemahan dalam pengurusan awal beberapa kes sebelum ini dengan bebeberapa penambahbaikan.

Beliau berkata, antara usaha yang dilaksanakan termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, menambah 107 jawatan guru bimbingan dan kaunseling, dan melantik 300 pembantu warden asrama menerusi MySTEP.

“PDRM diberi izin untuk masuk ke sekolah bila-bila masa secara rasmi dengan pakaian seragam. Selain itu, seramai 400 warden diberi latihan bagi kemahiran dan sokongan psikologi psikososial.

“Malah, kuasa kepada pengetua dan guru besar, iaitu kuasa disiplin lebih berat,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN