SPRM tidak serah notis kepada anak Saravanan berusia 12 tahun 

SPRM tidak serah notis kepada anak Saravanan berusia 12 tahun 

ABD. HALIM AMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyerahkan notis pengisytiharan harta kepada anak lelaki bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berusia 12 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan budi bicara dan pertimbangan terhadap kemunasabahan dalam keadaan berkenaan.

“Di bawah undang-undang, tidak dinyatakan secara khusus kategori umur, sama ada seseorang itu dewasa atau kanak-kanak. Apa yang dinyatakan ialah mengenai saudara atau sekutu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, dalam kes anak berusia 12 tahun tersebut, kita menggunakan budi bicara dan pertimbangan berdasarkan kemunasabahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-59 SPRM di Putrajaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, SPRM sebelum ini mengeluarkan notis kepada Saravanan, isterinya dan anak-anaknya.

Katanya, terdapat anak Saravanan yang tidak dapat hadir kerana masih belajar di luar negara dan sebagainya.

“Jadi, kepada mereka yang ada, kita laksanakan penyampaian notis terlebih dahulu. Tetapi kepada anak beliau yang berumur 12 tahun itu, kita memang tidak menyerahkan notis,” tegasnya.

Mengulas mengenai persoalan sama ada kanak-kanak berkenaan hadir secara fizikal ke ibu pejabat SPRM, beliau berkata, perkara tersebut bukan bermaksud dia hadir untuk menerima notis.

“Kehadiran kanak-kanak itu bukan bermaksud dia datang secara fizikal untuk menerima notis tetapi lebih kepada teman ibu bapanya.

“Makna mata, mungkin nak tinggalkan anak-anak di rumah tiada orang, Jadi, mereka datang seperti biasa,” jelasnya.

Abd Halim berkata, notis pengisytiharan harta itu dikeluarkan di bawah Seksyen 36 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) dan bukannya di bawah Akta SPRM.

Jelasnya, berdasarkan peruntukan berkenaan, tempoh yang diberikan kepada seseorang individu selepas menerima notis untuk membuat pengisytiharan harta ialah satu bulan.

“Namun, jika tempoh tersebut tidak mencukupi atas apa-apa sebab atau alasan, kita boleh melanjutkan tempoh tersebut mengikut masa dan tempoh yang munasabah,”katanya.

Pada 28 September lalu, Saravanan meluahkan rasa tidak puas hati apabila anak lelakinya yang baru berusia 12 tahun turut dikaitkan dalam isu pengisytiharan harta oleh SPRM.

Beliau yang juga Timbalan Presiden MIC mendakwa anak lelakinya itu turut mengalami trauma dan tidak mahu ke sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×