NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa percaya beberapa keganasan yang berlaku di Selatan Thai, khususnya di Wilayah Narathiwat kebelakangan ini turut melibatkan sindiket pengedaran dadah yang mahu membalas dendam selepas kegiatan mereka dibanteras.
Jurucakap Jawatankuasa Senat mengenai Ketenteraan dan Keselamatan Thailand, Chaiyong Manirungsakul berkata, terdapat bukti yang mengaitkan insiden pengeboman di sebuah stesen minyak di Daerah Tak Bai, 1 Oktober lalu dengan kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan.
Beliau berkata, setiap kali pihak berkuasa berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah atau rokok secara besar-besaran, pihak terbabit melancarkan siri keganasan termasuk melakukan pengeboman serta pembakaran terhadap sasaran terbuka.
Katanya, pada masa lalu beberapa kumpulan pengedaran dadah terlibat dalam tindakan keganasan dan mencetuskan pergolakan keselamatan.
“Keganasan di tiga wilayah Selatan Thai bukan sahaja dilakukan kumpulan pejuang tetapi turut melibatkan sindiket dadah yang terancam setelah menerima tekanan pihak berkuasa.
“Dengan satu kumpulan yang mengalami kerugian hasil, sindiket dadah akan menggunakan kumpulan pejuang untuk membalas dendam terhadap sasaran yang lemah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Beliau mengulas insiden pengeboman di sebuah stesen minyak kira-kira pukul 9 malam, sehari selepas pihak berkuasa merampas 600 kilogram syabu bernilai kira-kira 90 juta baht (RM10.9 juta) di Daerah Tak Bai.
Chaiyong yang juga Ahli Dewan Negara bagi kawasan Narathiwat dan Presiden Kesatuan Wartawan Selatan Thai percaya Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik dan Pusat Operasi Polis Wilayah Sempadan Selatan mempunyai senarai pengedar utama dadah.
Beliau mendedahkan sebahagian daripada dalang sindiket itu juga mempunyai kaitan dengan ahli politik, pemimpin tempatan dan anggota beruniform.
Justeru, katanya, jika Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mahu menghentikan kekacauan di Selatan Thai, mereka mesti membanteras kumpulan utama penyeludup dadah dan rokok, khususnya Wilayah Narathiwat yang merupakan hab utama bagi pengedaran domestik dan transnasional.
“Perkara yang penting, selepas setiap tangkapan pengedar dadah utama di kawasan tersebut, satu pelan tindakan mesti disediakan bagi mencegah serangan daripada kumpulan bersenjata yang ingin membalas dendam,” katanya.
Sementara itu, jurucakap ISOC 4 berkata, pihak berkuasa memperhebat gerakan memburu seorang ketua kampung yang disyaki mendalangi kegiatan penyeludupan syabu rentas sempadan, susulan rampasan itu.
“Gerakan memburu lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu masih dijalankan. Pihak berkuasa juga menyiasat kemungkinan suspek telah melarikan diri ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN











