PETALING JAYA: Nasib Gaza seolah-olah semakin dilupakan selepas tiga tahun berdepan kekejaman Zionis Israel dengan lebih 74,000 nyawa terkorban, manakala rakyat Palestin terus bergelut mempertahankan kehidupan akibat konflik berpanjangan.
Keadaan itu mencetuskan persoalan sejauh mana masyarakat antarabangsa khususnya negara Islam mampu memainkan peranan bagi memastikan penderitaan rakyat Palestin dapat dinoktahkan.
Keadaan tersebut berlaku ketika perhatian dunia terhadap krisis kemanusiaan Gaza kini beralih kepada isu lain.
Lebih menyedihkan, konflik sejak 7 Oktober 2023 bukan sahaja meragut puluhan ribu nyawa, malah menyebabkan wilayah Gaza yang sebelum ini berkeluasan kira-kira 330 kilometer persegi semakin terhimpit apabila lebih 60 peratus kawasan berkenaan dikatakan telah diambil alih Israel, meskipun gencatan senjata antara Hamas dan Israel telah dilaksanakan.
Bagi rakyat Palestin, Mohamed Adan Shaat berkata, dia amat sedih melihat nasib kampung halamannya apabila terpaksa menyaksikan saudara-maranya terbunuh satu demi satu tanpa berbuat apa-apa demi untuk menyelamatkan mereka.
Katanya, setiap berita kematian yang diterima bukan sekadar angka atau statistik, sebaliknya kehilangan insan yang mempunyai hubungan rapat dengan keluarganya dan meninggalkan kesan mendalam kepada mereka yang masih hidup.
Lebih menyayat hati, Mohamed berkata, antara saudara-maranya yang terbunuh ialah seorang yang maut ketika keluar mendapatkan makanan untuk anak-anaknya yang kelaparan, keadaan yang disifatkannya amat sukar untuk diterima sebagai seorang ahli keluarga.
“Sangat menyakitkan apabila saya melihat sepupu saya meninggal dunia di Gaza, tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa untuk melindungi mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Justeru, dia sudah menetap di Malaysia mahu dunia terus mengingati penderitaan rakyat Gaza meskipun perhatian antarabangsa semakin beralih kepada konflik lain, selepas tiga tahun bumi Palestin berdepan kemusnahan dan kehilangan nyawa.
Sementara itu, isterinya, Nurul Ain Haron berkata, rakyat Palestin juga bimbang Gaza semakin dilupakan apabila perhatian dunia kini tertumpu kepada konflik lain, khususnya ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat.
Menurutnya, kemunculan krisis baharu tidak menjadikan penderitaan Gaza berkurangan, sebaliknya dikhuatiri menyebabkan tekanan antarabangsa untuk menyelesaikan konflik Palestin semakin lemah.
Katanya, pengalaman Nakbah 1948 masih menghantui rakyat Palestin apabila sebahagian mereka yang dipindahkan dari kampung halaman ketika itu masih tidak dapat kembali sehingga hari ini.
Mengulas masa hadapan Gaza, Nurul Ain berkata, pembinaan semula selepas perang bukan hanya membina semula rumah dan infrastruktur, sebaliknya memastikan rakyat Palestin dapat kembali menjalani kehidupan dengan selamat dan bermaruah.
“Gaza boleh dibina semula, tetapi pembinaan semula bukan sekadar konkrit dan bangunan. Kami perlukan sekolah, hospital dan paling penting, masa hadapan supaya anak-anak dapat hidup dengan selamat dan bermaruah,” katanya.
Dalam pada itu, Eksekutif Penyelidikan dan Advokasi Cinta Gaza Malaysia, Nur Hasya Hasshim berkata, kemasukan bantuan kemanusiaan meskipun membuatkan masyarakat antarabangsa menarik nafas lega, namun rakyat Gaza masih bergelut mendapatkan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, sistem kesihatan yang lumpuh serta ekonomi yang musnah menyebabkan barangan keperluan dan perubatan yang dibenarkan masuk sukar diperoleh, malah dijual pada harga yang tidak mampu ditanggung majoriti penduduk yang telah kehilangan segala-galanya.
“Lebih menyedihkan, sekiranya mereka memerlukan rawatan perubatan lengkap, mereka terpaksa keluar dari tanah air sendiri.
“Ini adalah taktik serampang dua mata rejim Zionis untuk mengusir keluar penduduk Gaza atau pembersihan etnik secara terancang, membiarkan mereka menderita tanpa hak asas kemanusiaan,” katanya.
Dalam masa sama, katanya, akses internet di Gaza juga amat terhad dan mahal, menyebabkan kemampuan penduduk berkongsi video serta perkembangan semasa kepada dunia tidak seharusnya dijadikan ukuran bahawa keadaan di sana sudah kembali baik.
“Jangan tertipu dengan kewujudan video di media sosial seolah-olah mereka masih mampu hidup seperti biasa.
“Di tengah kebuluran, persoalannya bagaimana sesetengah barangan seperti telefon pintar, basikal elektrik dan coklat import masih boleh berada di pasaran sedangkan tepung serta ubat-ubatan sukar diperoleh,” katanya.
Beliau berkata, keadaan sedemikian boleh mencetuskan persepsi palsu bahawa kehidupan di Gaza semakin pulih, sedangkan hakikatnya rakyat Palestin masih berdepan kelaparan, kemusnahan serta kekurangan akses kepada kesihatan dan pendidikan.
Nur Hasya berkata, perjuangan rakyat Palestin kini bukan sahaja berdepan sekatan di lapangan, malah cabaran di ruang digital apabila kandungan mengenai kemusnahan Gaza didakwa semakin sukar mendapat capaian, menyebabkan penderitaan mereka berisiko tenggelam daripada perhatian masyarakat dunia.
“Rakyat Gaza masih tidur dan bangun dalam ketakutan dengan ancaman yang boleh meragut nyawa pada bila-bila masa,” katanya.











