ARAU: Pas memberi tumpuan kerjasama dengan UMNO khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka selepas penggantungan Perikatan Nasional (PN).
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, kepemimpinan Pas Pusat perlu terus berunding dengan UMNO bagi merealisasikan hasrat penyatuan ummah yang semakin hampir menjadi kenyataan antara dua parti itu.
Katanya, Pas dan UMNO perlu mengelak daripada sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mengundang perpecahan.
“Sekarang adalah masa terbaik perpaduan Pas dan UMNO serta suburkan kerjasama tersebut. Pada masa ini, berkaitan penggantungan PN, tunggu dan lihat dengan fokus ketika ini, kerjasama atau penyatuan antara Pas UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hashim berkata, dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), Pas perlu bersama dalam gabungan dan tidak bersedia bergerak solo.
Katanya, dalam keadaan PN yang tidak menentu, usaha ke arah kerjasama dan permuafakatan dengan UMNO itu perlu diperkasa dengan pemimpin kedua parti harus mengenepikan ego khususnya dalam soal agihan kerusi.
“Perpaduan antara Pas dan UMNO itu perlu diterjemahkan dahulu di dalam PRN Melaka sebelum diperkuat menjelang PRU16. Pas kena berusaha mempercepatkan penyatuan ini.
“Melihat kepada senario politik semasa, sekarang masa terbaik penyatuan antara Pas dan UMNO. Tumpukan kerjasama tersebut, akar umbi serta rakyat Malaysia amat mengimpikan penyatuan dua parti ini,” jelasnya.
Katanya lagi, secara asasnya, apabila pemimpin dua parti terbesar Melayu Islam itu bersatu, mendorong rakyat mengikut jejak langkah sama.
Beliau berkata, masyarakat berpecah apabila parti-parti politik Melayu Islam ini bertelagah dan ia sudah berlarutan sejak sekian lama.
“Kepemimpinan perlu utamakan kepentingan ummah bukan peribadi dalam merealisasikan penyatuan ini. Kerjasama Pas dan UMNO memberi manfaat kepada seluruh masyarakat khususnya orang Melayu di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Hashim memberitahu, perpaduan Pas dan UMNO serta persediaan ke arah pilihan raya dijangka menjadi tumpuan mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas hari ini.
Katanya, Pas juga akan membentangkan tahap kekuatan semasa dan kelemahan parti yang perlu diperbaiki sempena mesyuarat berkenaan.
“Gunakan mesyuarat Majlis Syura itu untuk membentangkan segala kelemahan dan kita akan mencari kaedah mengatasinya. Kita mesti berani berterus terang,” katanya. UTUSAN











