KANGAR: Kerjasama Pas dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin hampir direalisasikan apabila rundingan pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu mencapai 90 peratus.
Malah, Pas bersedia menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya tersebut jika langkah itu mampu membawa kepada kata putus kepada kerjasama berkenaan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan berkenaan akan dibawa kepada kepemimpinan parti masing-masing untuk pengesahan akhir sebelum dimuktamadkan.
Katanya, UMNO akan mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRN lalu, manakala rundingan tertumpu kepada enam hingga 10 kerusi yang belum dimenangi parti itu.
“Jawatankuasa rundingan antara Pas dan UMNO nampak cukup baik ke arah mewujudkan persefahaman tersebut. Kita sudah menjalankan rundingan dan hampir 90 peratuslah sudah selesai.
“Selepas ini, ia akan dibawa ke peringkat parti masing-masing untuk pengesahan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Kompleks Pas di sini semalam.
Tuan Ibrahim berkata, UMNO mempunyai hak untuk berunding dengan mana-mana parti lain, namun rundingan Pas dan UMNO yang sedang berjalan tidak bertindih dengan perbincangan membabitkan pihak lain.
UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyatakan kesediaan mempertahankan semua 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi gabungan itu dalam PRN Melaka lalu.
Menurut Tuan Ibrahim, pendekatan yang digunakan mengambil kira formula di Negeri Sembilan, iaitu memberi laluan kepada parti yang memenangi kerusi sebelum ini untuk mempertahankannya.
“Kerusi yang belum dimenangi sama ada oleh UMNO, BN ataupun Perikatan Nasional (PN) akan melalui proses rundingan bagi mencapai persefahaman.
“Saya fikir oleh kerana Melaka ini UMNO sudah menang besar dalam PRN lalu namun ada beberapa kerusi yang belum dimenangi. Jadi, kerusi-kerusi tersebut kita rundinglah untuk kita bertanding, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata, setiap negeri boleh mempunyai kaedah tersendiri dalam membentuk kerjasama politik dan perkara itu boleh diselesaikan melalui perbincangan antara parti.
“Melaka ada formulanya, Negeri Sembilan ada kaedahnya, begitu juga dengan negeri-negeri SG4 selepas ini. Pada masa ini, fokus Melaka terlebih dahulu,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, Majlis Syura Ulama Pas turut meluluskan senarai calon bagi PRN Melaka yang dikemukakan Badan Perhubungan Pas Melaka.
Katanya, dua hingga tiga nama calon bagi setiap DUN dikemukakan untuk penelitian, termasuk latar belakang mereka, sebelum kesemua senarai berkenaan diluluskan.
Sementara itu di Terengganu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu bersedia menggunakan logo BN sekiranya kerjasama dengan UMNO dimuktamadkan bagi menghadapi PRN Melaka.
Katanya, penggunaan logo Pas atau BN masih dalam perbincangan dan bergantung kepada keputusan rundingan kedua-dua parti.
“(Penggunaan logo) kita masih dalam perbincangan. Kita akan setuju,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.
Abdul Hadi berkata, keutamaan Pas adalah memastikan kepemimpinan Melayu dan Islam di Melaka, selain memaklumkan respons kebanyakan pemimpin BN terhadap usaha kerjasama itu adalah positif.
Mengenai kemungkinan BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), beliau berkata perkara itu terpulang kepada parti berkenaan.
“Kita tetap usahakan supaya PH kalah di Melaka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan perbincangan dengan Pas sedang berjalan dan menyifatkannya sebagai amat positif.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh turut menyambut baik usaha tersebut dengan harapan Melaka menjadi medan kepada pengukuhan perpaduan antara kedua-dua parti. – UTUSAN











