MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menepis dakwaan kononnya parti itu terlibat dalam pengantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd. Halim berkata, PH tidak mempunyai sebarang kaitan atau penglibatan dalam perkara tersebut sebaliknya menyifatkannya sebagai konflik dalaman pihak berkenaan.
Menurutnya, dakwaan yang dibangkitkan oleh Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe itu tidak berasas kerana PH tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai sebahagian daripada strategi politiknya.
“Kita menolak dakwaan tersebut. Ini tidak ada kena-mengena, ini bukan strategi, malah kita tidak terlibat langsung.
“Itu adalah konflik dalaman mereka dan kita di sini telah pun menetapkan bahawa pertandingan yang berlaku di negeri Melaka ini adalah sebuah proses demokrasi untuk memberi peluang kepada masyarakat dan pengundi membuat keputusan bagi memilih kerajaan negeri.
“Ia tidak ada kena-mengena dengan sebarang pertelingkahan mahupun pertembungan politik yang tidak berkait dengan proses tersebut,” katanya dalam sidang akhbar harian Jabatan Pilihan Raya PH di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Dominic Lau mendakwa penggantungan PN oleh RoS merupakan agenda PH menjelang PRN Melaka.
Beliau berkata, penggantungan itu dibuat pada 23 September, iaitu tarikh yang sama dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Tambahnya, taktik itu juga bertujuan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua.
Dalam pada itu, Adam Adli turut menyuarakan kebimbangan terhadap serangan peribadi yang diterima beberapa calon muda termasuk daripada generasi Z dan milenial yang bertanding kali ini.
Katanya, tindakan merendah-rendahkan calon muda adalah tidak produktif khususnya ketika usaha sedang dilakukan untuk membina keyakinan masyarakat terhadap kemampuan golongan itu memimpin.
“Kita bercakap soal orang muda sebagai pemimpin masa hadapan, tetapi di PH kita percaya pada kekuatan dan keupayaan mereka untuk memimpin hari ini.
“Tidak perlu tunggu sampai mereka berusia baru diberi peluang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi, khususnya golongan muda, mengambil peluang untuk menilai tawaran serta kemampuan calon muda yang diketengahkan PH dalam pilihan raya negeri berkenaan. -UTUSAN











