KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri Dr. Ramli Mohd Nor menawarkan kemudahan penghawa dingin percuma sekiranya Hospital Mara dibina di kawasan tanah tinggi itu.
Ramli yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata, faktor cuaca sejuk dan nyaman di Cameron Highlands menjadikan kawasan itu sesuai dipertimbangkan bagi pembinaan hospital berkenaan.
“Saya ingin menawarkan Hospital Mara di Cameron Highlands. Saya tawarkan aircond free (penghawa dingin percuma), tidak perlu kos kerana kawasan ini sesuai, sejuk dan nyaman. Saya bersedia menyediakan tempat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa menawarkan Negeri Sembilan sebagai lokasi pembinaan hospital berkenaan.
“Negeri Sembilan bersiap sedia untuk menyediakan tanah bagi Hospital Mara ini,” kata Mohd Isam.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, beberapa pihak telah menawarkan lokasi untuk pembinaan Hospital Mara walaupun projek itu masih dalam peringkat perancangan.
Menurut beliau, kajian terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan mengenai lokasi dan pelaksanaan hospital berkenaan dibuat.
“Sebenarnya, ramai yang menawarkan tempat untuk membina Hospital MARA walaupun masih lagi dalam perancangan. Namun, kajian secara terperinci perlu dilaksanakan terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN








