SEREMBAN: Masalah kerosakan peralatan taman permainan di taman perumahan Residensi PR1MA Bandar Ekar, Rantau di sini menimbulkan kekesalan dalam kalangan penduduk di situ.
Mereka mendakwa, isu berkenaan telah berlarutan sejak setahun lalu walaupun beberapa aduan telah dikemukakan kepada pihak pemaju.
Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi PR1MA Bandar Ekar, Ahmad Zulkarnain Zulkiffli Onni, 48, berkata, kerja penyelenggaraan yang dilakukan didapati lebih tertumpu kepada pembaikan kecil secara berasingan namun tidak menyelesaikan masalah kerosakan yang berulang.
Katanya, antara yang dibimbangkan adalah besi sokongan pada gelongsor yang didakwa kerap tertanggal sehingga membahayakan kepada kanak-kanak yang menggunakan peralatan berkenaan.
“Kami sudah beberapa kali memaklumkan perkara itu namun besi berkenaan hanya dipasang semula seperti biasa tanpa ada usaha untuk memperbaiki keadaan supaya masalah sama tidak berulang.
“Masalah seperti peralatan lain seperti buaian yang boleh tercabut dan tempat duduk ‘kuda spring’ yang boleh tertanggal juga tidak diselesaikan malah terpaksa dibaiki sendiri oleh penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, beliau berkata, seorang kanak-kanak juga dilaporkan dimasukkan ke hospital baru-baru ini selepas mengalami kecederaan ketika bermain di taman permainan berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, punca sebenar kecederaan kanak-kanak itu tidak dapat dipastikan kerana tiada maklumat khusus mengenai peralatan yang digunakan ketika kejadian.
“Kami periksa gelongsor, ada besi sokongan gelongsor sudah tembus ke bahagian dalam gelongsor. Bagaimanapun, kami tidak dapat memastikan sama ada kerosakan itu menjadi punca kecederaan kanak-kanak terbabit. Jadi, kami tutup kawasan gelongsor itu buat sementara waktu,” katanya.
Ahmad Zulkarnain berkata, masalah mula timbul beberapa bulan selepas penduduk menerima kunci kediaman pada Mei 2025, terutama pada suku keempat tahun lalu apabila aduan mengenai kerosakan didakwa tidak lagi mendapat maklum balas daripada pihak pemaju.
“Memasuki suku keempat tahun lalu, pihak pemaju mula tidak memberikan maklum balas terhadap aduan kami, termasuk berkaitan kerosakan rumah penduduk walaupun masih dalam tempoh waranti.
“Persatuan penduduk juga sudah beberapa kali menghantar e-mel dan membuat laporan kepada pejabat pemaju berhubung perkara ini, termasuk menghantar e-mel terbaharu baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN











