PETALING JAYA: Semua pelarian Myanmar yang terbabit dalam Program Penghantaran Pulang Fasa Pertama di Lumut, Perak pada 29 September lalu melalui proses saringan dan pengesahan rapi sebelum dihantar pulang secara sukarela, selamat serta bermaruah.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, proses berkenaan merangkumi pengenalpastian dan pengesahan kewarganegaraan, dokumentasi, pemeriksaan kesihatan serta semakan identiti.
Menurutnya, senarai nama setiap individu berkenaan disahkan kerajaan Myanmar dan dikemukakan kepada Malaysia menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos lalu.
Katanya, proses itu kemudiannya disusuli penyelarasan dari aspek keselamatan, logistik serta urusan penerimaan di negara asal.
“Bagi fasa pertama program itu, proses akhir dilaksanakan di Stadium Daerah Manjung sebelum individu berkenaan dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut bagi proses penghantaran pulang.
“Kerajaan memastikan proses penghantaran dibuat secara selamat, teratur, bertanggungjawab dan bermaruah berdasarkan proses serta prosedur yang dipersetujui antara kedua-dua negara,” katanya dalam dokumen Soalan Lazim (FAQ) mengenai program berkenaan.
KDN berkata, program itu merupakan sebahagian pendekatan kerajaan menangani migrasi tidak teratur dan pendatang tanpa izin menerusi penguatkuasaan undang-undang, pengurusan tahanan serta penghantaran pulang ke negara asal secara tersusun, selamat dan bertanggungjawab.
Menurutnya, langkah berkenaan dapat memendekkan tempoh penahanan yang tidak perlu, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap kapasiti serta kos operasi Depot Tahanan Imigresen (DTI).
“Setakat 31 Ogos lalu, terdapat sebanyak 11,804 warganegara Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen dan Baitul Mahabbah di seluruh negara,” katanya.
KDN berkata, jumlah tahanan yang tinggi dan tempoh penahanan yang panjang memberi tekanan kepada kapasiti depot, selain menyebabkan kerajaan menanggung perbelanjaan yang besar.
Sehubungan itu, Program Penghantaran Pulang dirangka sebagai inisiatif kerjasama dua hala antara Malaysia dan Myanmar bagi melaksanakan penghantaran pulang tahanan warganegara itu secara berperingkat.
Menerusi inisiatif berkenaan, kerajaan Myanmar menzahirkan komitmen untuk menerima kepulangan sebanyak 5,000 warganya sepanjang tahun ini.
KDN berkata, hala tuju program diputuskan pada peringkat kerajaan dengan kementerian itu bertindak sebagai penyelaras, manakala Jabatan Imigresen Malaysia menjadi agensi operasi utama.
Operasi berkenaan turut digembleng bersama Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, TLDM serta agensi keselamatan berkaitan.
Pelaksanaan fasa pertama program pada 29 September lalu menyaksikan 1,476 pelarian warga Myanmar dihantar pulang menaiki tiga kapal milik Tentera Laut Myanmar, termasuk sebuah kapal hospital.
Operasi itu membabitkan tahanan dari 14 DTI di seluruh negara dengan jumlah tertinggi masing-masing dari Depot Belantik, Kedah dan Depot Tanah Merah, Kelantan.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, sebelum ini berkata sebanyak 3,524 tahanan Myanmar dipersetujui untuk dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa kedua program berkenaan secara sukarela. – UTUSAN










