MARANG: Pas sedia menggunakan logo Barisan Nasional (BN) jika kedua-dua buah parti itu menjalinkan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas boleh menggunakan logo sendiri atau BN yang bergantung kepada hasil rundingan berhubung jalinan kerjasama politik itu kelak.
Beliau berkata, rundingan antara kedua-dua buah parti masih berjalan dan keutamaan Pas adalah memastikan kepemimpinan Melayu dan Islam di Melaka.
Katanya, beliau mendapati respons kebanyakan kepemimpinan BN bersetuju bekerjasama dengan Pas.
“(Penggunaan logo) kita masih dalam perbincangan. Kita akan setuju,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, hari ini.
Pada 23 September lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengesahkan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Pas digantung mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berkuat kuasa serta-merta susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September lalu.
Perintah penggantungan itu dibuat bagi meminta PN memberikan penjelasan terperinci berkenaan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada jabatan berkenaan, dan bukannya satu keputusan pembatalan pendaftaran gabungan itu.
Terdahulu, BN dilapor akan membincangkan keperluan penggunaan logo gabungan itu oleh Pas bagi menghadapi PRN Melaka.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perbincangan bersama itu akan dibuat setelah memuktamadkan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Sementara itu, ditanya sekiranya BN memilih bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Melaka, Abdul Hadi berkata, ia terpulang kepada parti berkenaan.
“Kita tetap usahakan supaya PH kalah di Melaka,” katanya.
Berhubung agihan kerusi, Ahli Parlimen Marang itu berkata, perkara berkenaan belum dimuktamadkan.- UTUSAN











