KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 53, menolak penggunaan kecedasan buatan (AI) dalam penghasilan bahan untuk mempromosikan makanan.
Jelasnya, dalam usaha menarik pelanggan, biarlah menggunakan bahan promosi seperti video atau gambar sebenar.
“Saya tidak ada masalah untuk terima gambar-gambar guna AI untuk kandungan tertentu.
“Tapi kalau promosi makanan, saya secara peribadi tak boleh terima gambar AI.
“Kalau jual makanan, biarlah kita tunjuk gambar dan produk sebenar yang pelanggan akan dapat. Maaflah, itu pendapat saya,” katanya menerusi Thread.
Pandangan penyanyi Dendam Dalam Diam itu menarik banyak komen netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan apa yang diperkatakan Nora.
“Terima kasih mewakili. lagi-lagi kalau duduk restoran, tengok menu pakai Ai,” kata seorang netizen.
“Terima kasih mewakili rakyat Malaysia sebagai pengguna. Pamer sekali harga makanan, servis atau produk, jangan mintak pengguna yang mesej,” kata seorang lagi pengguna Thread. – UTUSAN











