BUKIT MERTAJAM : Seorang lelaki yang bertindak sebagai orang upahan ah long didenda RM9,000 oleh dua Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan cat merah terhadap dua orang mangsa, bulan lepas.
Tertuduh, Tan Ting Sheng, 24, yang juga bapa kepada dua orang anak membuat pengakuan tersebut selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Roshayati Radellah dan Majistret Sharifah Razali.
Bagi pertuduhan pertama di hadapan Roshayati, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada tembok dinding, pagar besi hadapan rumah serta bahagian hadapan sebuah van jenis Nissan sehingga menyebabkan seorang mangsa, Ong Tian Ching, 41, mengalami kerugian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh kira-kira pukul 12.10 tengah malam di No. 93, Jalan Impian Ria 2, Taman Impian Ria di sini, pada 19 September lalu.
Roshayati kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 dan jika gagal membayar denda tersebut, tertuduh boleh dipenjara selama enam bulan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua di hadapan Sharifah pula, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pagar besi hadapan rumah dan bahagian hadapan kereta jenis Honda CR-V milik Ng Tee Keat, 52 kira-kira pukul 1.30 pagi di No. 1544, Jalan Tan Sai Gin di sini, pada tarikh yang sama seperti pertuduhan awal.
Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadzli Hassan dan Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Catherine Joysee.
Terdahulu, sebelum menjatuhkan hukuman, Sharifah turut menasihatkan tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan berkenaan selain meminta lelaki tersebut untuk mencari pekerjaan lain yang lebih baik selepas ini.
“Umur awak baru sahaja masuk 24 tahun, namun, awak sudah berada di sini (mahkamah). Ada banyak kerja boleh buat. Jadi, lepas ini kalau boleh, carilah kerja yang elok untuk sara keluarga.
“Lagi satu, harga cat yang awak beli mungkin sekitar RM80, tapi, kesan kerugian dan malu yang ditanggung oleh mangsa adalah lebih daripada itu,” katanya.
Sharifah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh dan tertuduh boleh diperintah untuk menjalani hukuman penjara selama 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.-UTUSAN











