PETALING JAYA: Pelari Kenya, Ezekiel Kemboi menewaskan juara bertahan John Nzau Mwangangi dalam saingan sengit di garisan penamat untuk menjuarai kategori Terbuka Lelaki Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2026.
Kemboi berjaya mengekalkan kelebihan berbanding rakan senegaranya untuk melintasi garisan penamat dengan catatan masa dua jam, 21 minit dan 19 saat, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai utama sebanyak US$15,000 (RM61,065).
Sementara itu Mwangangi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak hanya lapan saat di belakang menerusi catatan 2:21:27, manakala Moses Kibet Kipsang melengkapkan penguasaan bersih Kenya di pentas pemenang selepas meraih pingat gangsa dalam masa 2:21:32.
Kemboi, yang kali terakhir beraksi di KLSCM pada tahun 2023, menyifatkan kejayaan di raihnya selepas berjaya menyesuaikan diri dengan cuaca lembap selepas menjalani latihan di Eldoret, Kenya.
“Saya sebenarnya tidak mempunyai strategi khusus untuk hari ini dan menyertai perlumbaan dengan niat untuk mencuba nasib. Cuaca panas dan lembap, tetapi saya bernasib baik hari ini,” katanya semalam.
Bagi kategori Terbuka Wanita, pelari Ethiopia, Alemitu Ajema Lema, menampilkan persembahan dominan untuk meraih gelaran juara dengan masa 2:39:29. Pelari Kenya, Lucy Nthenya Ndambuki (2:39:59) dan Caroline Cheptonui Kilel (2:40:17) masing-masing melengkapkan kedudukan tiga teratas di tempat kedua dan ketiga.
Bagi kategori Malaysia, acara KLSCM memberi signifikan tersendiri apabila dijadikan tempat pemilihan awal rasmi bagi skuad maraton Sukan SEA 2027.
Juara bertahan, Yeow Ni Jia, tampil cemerlang dalam kategori Lelaki Malaysia apabila menangkis cabaran hebat saingan lain untuk mempertahankan gelarannya, di samping mencatatkan rekod peribadi terbaik tempatan baharu iaitu 2:33:52.
Bagi Lai Yi Hng, dia menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 2:34:16, manakala pemegang rekod kebangsaan, Tan Huong Leong, menduduki tempat ketiga dengan catatan masa 2:39:17.
“Saya terus mengikut rentak perlumbaan pada hari ini. Sasaran saya adalah untuk memastikan tempat di podium serta menempah tempat dalam senarai awal Sukan SEA,” katanya.
“Saya berharap untuk mencatatkan masa di bawah 2:35, dan disebabkan saingan yang ketat, saya berjaya meraih rekod peribadi terbaik tempatan saya. Saya akan berehat sebentar selepas ini untuk pulih daripada kecederaan terdahulu.”jelasnya.
Kategori Wanita Malaysia pula, Esther Joy Chen Hong Li, 22 juara selepas melintasi garisan penamat dalam masa 3:05:22, sekaligus dinobatkan sebagai juara kebangsaan baharu.
“Saya membuat keputusan untuk menyertai KLSCM selepas mendapat tahu ia menjadi acara pemilihan awal untuk Sukan SEA 2027,” jelasnya
Dalam pada itu, Elaine Koon meraih tempat kedua dengan masa 3:12:43, manakala Lai Wei Ling menduduki tempat ketiga dengan catatan 3:14:37.
“Jurulatih saya menyesuaikan latihan saya untuk fasa maraton dan strategi kami adalah ‘go big or go home’. Beliau memberi saya garis panduan kelajuan (pace) untuk diikuti dan sasaran saya adalah untuk menamatkan perlumbaan,” jelasnya.
Edisi ke-18 acara berstatus Label Elit Olahraga Dunia (World Athletics Elite Label) ini menarik rekod penyertaan seramai 43,800 peserta sepanjang dua hari pertandingan, dengan lebih 27,000 pelari membanjiri jalan-jalan di ibu negara pada Ahad bagi acara maraton penuh dan separuh maraton yang dilepaskan dari Dataran Merdeka. – UTUSAN








