PUTRAJAYA: Agensi kerajaan perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian punca masalah dan penambahbaikan sistem, bukan sekadar menyelesaikan aduan secara sementara setiap kali ia timbul.
Peringatan itu dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Tahun 2025 di sini hari ini.
Menurutnya, agensi kerajaan diingatkan agar tidak mudah berasa selesa apabila sesuatu aduan itu berjaya diselesaikan secara sekali sahaja.
“Kita juga harus mengelak daripada terus-menerus mengamalkan pendekatan menyelesaikan masalah secara ad hoc.
“Jika sesuatu aduan itu kerap berulang di kawasan yang sama, itu satu isyarat jelas bahawa terdapat kelompangan dalam sistem penyampaian kita,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, pentadbiran di peringkat Persekutuan dan negeri disaran memperluas penggunaan Aplikasi Respons Rakyat (RR) bagi menyediakan saluran maklum balas kerajaan lebih inklusif, pantas dan mudah diakses terus dari hujung jari rakyat.
Katanya, langkah itu selari dengan hasrat pendigitalan negara dengan penggunaan RR juga berfungsi sebagai platform sokongan yang ampuh kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
“Segala maklumat dan data yang diperoleh melalui sistem SISPAA mahupun aplikasi RR ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya.
“Gunakanlah maklum balas ini untuk kita meneliti trend permasalahan rakyat dan seterusnya merangka inisiatif penyelesaian baharu.
“Janganlah kita bersikap lepas tangan dengan menolak pengadu atas alasan isu tersebut di luar bidang kuasa kita dan sentiasalah tanamkan sifat empati dalam berkhidmat kerana inilah teras kelangsungan tadbir urus yang terbaik bagi sesebuah organisasi,” katanya.
Mengulas Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), beliau berkata sebanyak 1,582 projek didaftarkan setakat ini dengan 496 daripadanya siap, melibatkan penjimatan kos pematuhan kepada kerajaan berjumlah RM3.21 bilion.
“Pada Februari lepas saya juga mengarahkan agar inisiatif tanpa kertas dilaksanakan dan bagi Ogos sahaja, penggunaan 123,325 rim kertas berjaya dijimatkan bersamaan RM1.48 juta, manakala dari Mei hingga Ogos, penjimatan terkumpul mencecah 482,940 rim bernilai RM5.79 juta,” katanya.
Pada majlis sama, SUK Selangor, Perak, Melaka, Sarawak dan Kedah menerima tujuh penarafan; SUK Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan (enam penarafan); manakala SUK Terengganu, Sabah, Johor dan Perlis menerima lima penarafan. – UTUSAN











