Buruh dipenjara sembilan bulan, ugut isteri guna parang - Utusan Malaysia

Buruh dipenjara sembilan bulan, ugut isteri guna parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang buruh sawit dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut dan mengejar isterinya dengan parang selepas menuduh wanita berkenaan menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Tertuduh, Ahmad Fairus Mohamed, 42, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret, Mustaqim Sukarno.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sembilan bulan itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 18 Oktober lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya yang berusia 37 tahun menggunakan parang di sebuah rumah di Senggarang, di sini, pada pukul 8.30 pagi, 18 Oktober lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kejadian berlaku selepas pasangan suami isteri itu bertengkar sebelum tertuduh memarahi dan mengugut mangsa. Tertuduh kemudian bertindak mengambil parang dan mengejar isterinya.

Akibat ketakutan, mangsa melarikan diri ke rumah jiran untuk meminta pertolongan sebelum membuat laporan di Balai Polis Senggarang, pada hari sama mengakibatkan tertuduh ditahan pada pukul 1.30 tengah hari.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Kamarularifiin Nordin.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini