MELAKA: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin positif apabila parti itu dikatakan bakal diberi laluan untuk bertanding di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sumber berkata, keputusan awal itu dicapai dalam perbincangan melibatkan dua pemimpin kanan Pas iaitu Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan baru-baru ini.
Menurutnya, empat kerusi yang telah dipersetujui pada rundingan peringkat awal adalah Bemban, Bukit Katil, Paya Rumput dan Ayer Keroh.
“Perbincangan pertama sudah diadakan dan empat kerusi itu antara yang dipersetujui untuk diberikan kepada Pas.
“Perbincangan kedua dijangka berlangsung selewat-lewatnya minggu depan bagi mengesahkan pembahagian empat kerusi berkenaan, selain membincangkan soal penggunaan logo pada PRN kali ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sumber berkata, antara perkara yang masih perlu dimuktamadkan adalah sama ada Pas akan menggunakan logo BN sekiranya bertanding atas kerangka kerjasama atau menggunakan logo sendiri.
Perkembangan itu sekali gus menguatkan lagi petunjuk bahawa kedua-dua parti semakin menghampiri kesepakatan untuk bekerjasama pada PRN Melaka.
Perkara itu dikatakan turut dimaklumkan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor dalam Mesyuarat Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat di Putrajaya baru-baru ini.
Sumber berkata, Muhammad Sanusi turut memaklumkan kepada pimpinan parti mengenai perkembangan kerjasama BN-Pas di Melaka termasuk Pas memperoleh empat kerusi untuk ditandingi.
“Dalam mesyuarat itu juga dimaklumkan bahawa kerjasama BN-Pas di Melaka sedang berjalan dan Pas mendapat empat kerusi untuk ditandingi.
“Bagaimanapun, perkara itu masih perlu melalui perbincangan lanjut bagi memuktamadkan kerusi dan beberapa perkara teknikal termasuklah melibatkan logo,” katanya.
Empat kerusi berkenaan masing-masing mempunyai latar belakang politik berbeza dan sebelum ini menjadi antara kawasan yang diberi perhatian oleh semua parti dalam persiapan menghadapi PRN Melaka.
Pada PRN Melaka Ke-15, Bemban antara kerusi yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah logo Perikatan Nasional (PN) manakala Bukit Katil dan Ayer Keroh dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, DUN Paya Rumput pula dimenangi BN. – UTUSAN











