PETALING JAYA: Semua kerajaan negeri diharap mencontohi langkah Wilayah Persekutuan menghapuskan duti hiburan bagi mewujudkan ekosistem percukaian lebih seragam untuk industri filem tempatan.
Timbalan Pengerusi Persatuan Festival Seni Kreatif TVET Malaysia (ANIFEST), Mohd. Asrol Sani Othman berkata, pengumuman menerusi Belanjawan 2027 semalam memberi kelegaan yang dinanti-nantikan penerbit filem.
Katanya, langkah tersebut diyakini mampu mengurangkan beban kewangan penggiat seni serta merangsang pertumbuhan semula kutipan panggung secara lebih sihat.
“Pihak industri berharap agar langkah progresif Wilayah Persekutuan ini turut dicontohi dan dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri bagi mewujudkan ekosistem percukaian yang lebih seragam,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Asrol berkata, ANIFEST menyambut baik penyaluran insentif khas bagi memperkasa pembangunan harta intelek (IP) animasi tempatan yang disifatkan sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja membantu studio animasi tempatan bersaing pada peringkat lebih tinggi, malah membuka peluang pekerjaan lebih konsisten untuk animator dan artis animasi tanah air.
“Industri animasi memiliki kelebihan unik untuk menembusi pasaran global dengan pantas melalui visual yang kreatif, citra budaya yang kaya serta penceritaan merentas usia.
“Sifat animasi yang fleksibel turut membolehkan penjenamaan kekal hidup melalui produk terbitan, barangan dan pelesenan IP.
“Justeru, kami juga berharap inisiatif ini dapat membuka lebih banyak ruang tayangan bagi karya tempatan di setiap saluran televisyen utama,” katanya.
Beliau berkata, ANIFEST mencadangkan penganjuran konvensyen khusus seperti seminar dan bengkel perfileman bagi mengkaji serta berkongsi formula kejayaan produk animasi tempatan yang menembusi pasaran global.
Katanya, usaha itu bertujuan membolehkan lebih banyak studio baharu menimba ilmu dan mengikuti jejak kejayaan berkenaan.
ANIFEST yang menggabungkan sektor seni kreatif, animasi, kartun, komik serta institusi pengajian tinggi dan kolej kemahiran TVET seni Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap pembangunan industri kreatif negara.
Persatuan itu komited untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja mahir berteraskan TVET seni serta mengangkat martabat industri kreatif Malaysia ke persada antarabangsa. – UTUSAN











