PUTRAJAYA: Perasaan simpati terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas pemergian isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mendorong seorang wanita dari Kuching, Sarawak meluangkan masa menziarahi pusara Allahyarhamah di Pusara Negara, di sini pagi tadi.
Pekerja swasta, Nur Athirah Sidek, 29, berkata, dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi bersama ibu dan mengambil peluang menziarahi pusara Allahyarhamah walaupun mempunyai urusan kerja di ibu negara.
Katanya, hasrat untuk menziarahi pusara Allahyarhamah sudah dirancang lebih awal sebaik mengetahui mengenai pemergian Allahyarhamah.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya sampai dari Kuching dan ada rezeki untuk ziarah kubur Allahyarhamah Dr Siti Hasmah.
“Sejak beberapa hari lalu saya mengikuti perkembangan dan melihat keadaan Tun Mahathir. Semoga Allah memberikan kekuatan kepada beliau,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi pusara Allahyarhamah Dr Siti Hasmah pagi ini.
Katanya, walaupun tidak pernah bertemu secara peribadi dengan Tun Mahathir mahupun Allahyarhamah Tun Siti Hasmah namun, pasangan itu sentiasa dekat di hati rakyat Malaysia.
Nur Athirah berkata, dia secara peribadi tersentuh dengan kesetiaan yang terjalin antara Dr Mahathir dan Allahyarhamah itu termasuk sebagai pasangan suami isteri selama 70 tahun.
“Saya tak pernah jumpa mereka, tetapi bila melihat keadaan Tun Mahathir sekarang, saya rasa sebak.
Sebagai manusia, kita rasa kasihan. Mereka telah hidup bersama selama kira-kira 70 tahun. Bila melihat keadaan itu, saya berdukacita juga,” katanya. – UTUSAN










