KUALA LUMPUR: Semua parti politik perlu mengutamakan kepentingan negara dan mengelak daripada dikuasai emosi politik kepartian.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah itu perlu ketika Kerajaan Perpaduan berdepan tekanan dan perbezaan pendirian dalam kalangan parti yang membentuk pentadbiran.
Katanya, pemimpin politik tidak seharusnya membuat keputusan berdasarkan emosi, sebaliknya perlu menunjukkan teladan dengan mendahulukan kepentingan Malaysia dan rakyat.
“Prinsip berkenaan amat penting khususnya kepada pemimpin yang berada dalam Jemaah Menteri kerana mereka bukan sahaja memikul tanggungjawab terhadap parti, malah amanah untuk mentadbir negara,” katanya kepada pemberita selepas menyertai acara larian Oxyenergy Prima Merdeka Run 2026 di sini semalam.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada gesaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mencabar mana-mana pihak yang mahu parti itu menamatkan kerjasama dalam kerajaan Pusat supaya membubarkan Parlimen atau mengemukakan usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
“Perdana Menteri sewaktu Kongres PKR di Melaka tempoh hari menyatakan apa-apa jua keputusan yang kita ambil tidak akan berdasarkan kepada emosi, tetapi kita fikirkan negara.
“Kita letakkan negara dahulu. Itulah yang diajar oleh guru kita. Kalau kita lihat dalam mana-mana parti, akan ada suara yang rencam. Ada yang ingin melakukan perkara A, ada yang ingin melakukan perkara B.
“Tetapi sebagai pemimpin, kita harus menjadi contoh meletakkan Malaysia, mengutamakan Malaysia,” katanya.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, prinsip mengutamakan negara perlu menjadi panduan bukan sahaja ketika memimpin parti, tetapi juga dalam mengurus pentadbiran negara.
Beliau pada masa sama yakin Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu terus melaksanakan tanggungjawab sehingga akhir penggal meskipun berdepan perbezaan pandangan dan tekanan politik.
“Saya percaya kami boleh melakukan yang terbaik sehingga ke akhir penggal,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi menolak dakwaan bahawa tindakan mahkamah dan agensi penguat kuasa digunakan untuk mengugut atau menekan pemimpin UMNO.
Sebaliknya, beliau berkata Anwar dan kerajaan sentiasa konsisten untuk tidak mencampuri urusan agensi penguatkuasaan, termasuk menentukan sama ada sesuatu siasatan perlu dimulakan atau dihentikan.
Mengulas isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), beliau berkata siasatan terhadap perkara itu dibuat susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Itu tidak benar (bahawa kes mahkamah digunakan untuk mengugut pemimpin UMNO).
“Perkara itu bukan dinyatakan Perdana Menteri atau parti, tetapi titah Seri Paduka Baginda. Kerajaan mesti menjunjung titah Agong,” katanya.
Fahmi berkata, fokus Kerajaan Perpaduan ketika ini adalah memastikan agenda tadbir urus, pengurusan dan reformasi institusi terus dilaksanakan, khususnya dalam baki tempoh penggal semasa.
Pada 8 Ogos lalu, Sultan Ibrahim bertitah tiada pihak yang bersalah dalam isu membabitkan TH dan FELDA boleh terlepas daripada tindakan serta menegaskan siasatan terhadap kedua-dua isu itu perlu dilakukan secara menyeluruh. – UTUSAN










