DURIAN TUNGGAL: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mencatatkan lonjakan angka kemasukan pelajar baharu seramai 4,180 orang bagi mengikuti program ijazah sarjana muda bagi sesi 2026/2027.
Proses Hari Pendaftaran Perdana pelajar baharu UTeM ini Dijalankan selama dua hari pada 21 dan 22 September di 2 lokasi iaitu Dewan Canselor dan Kompleks Sukan, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin berkata, angka kemasukan kali ini terus memaparkan lonjakan luar biasa yang telah dicapai UTeM bagi tempoh lima tahun berturut-turut.
Beliau berkata, jika dibandingkan bagi empat tahun sebelumnya, tahun 2022 pihaknya menerima seramai 2,043 orang pelajar dan 2,530 orang bagi tahun 2023, tahun 2024 pula sebanyak 2,896 orang pelajar manakala tahun 2025 pula seramai 3,877 orang (angka bagi hari pendaftaran perdana).
Menurut Massila, terdapat beberapa faktor yang mencorak lonjakan angka pelajar baharu yang menjadikan UTeM sebagai pilihan utama dalam kalangan lepasan asasi, matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.
“Antaranya graduan UTeM menjadi buruan utama industri, dengan kadar bekerja mencecah 99.2 peratus, selain peningkatan gaji dan permintaan majikan terhadap bakat berkemahiran teknikal yang dilahirkan universiti TVET berprestij ini.
“Pengiktirafan kemenangan UTeM bagi Graduate Employability Excellence Award pada Malaysia Education & TVET Awards (META) 2026 mengukuhkan reputasi UTeM sebagai universiti awam berteraskan TVET termaju yang berjaya memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
“Kepercayaan industri terhadap graduan UTeM turut terserlah menerusi Graduate Employability Index 2026 oleh Talentbank yang melibatkan penilaian 1,200 majikan industri.

Dalam penilaian itu, bidang Automotif UTeM menduduki tempat pertama dalam kalangan universiti awam Malaysia manakala 3 lagi bidang UTeM iaitu Keusahawanan, Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Mekatronik pula menerima penarafan tertinggi 6-Star Employer Choice.
UTeM turut diiktiraf sebagai Universiti TVET terkemuka di Malaysia untuk Kebolehkerjaan Siswazah, bagi bidang Komputeran dan Teknologi Maklumat, UTeM pula menjadi pilihan utama majikan bagi pengambilan graduan secara berskala besar.
Keseluruhan pencapaian itu mengangkat UTeM ke dalam kelompok lima universiti awam terbaik negara menerusi Graduate Employability Index 2026.
“Menyentuh aspek penjagaan kebajikan pelajar, UTeM sentiasa cakna kepada golongan B40 dengan pelbagai skim bantuan yang telah diberikan sebelum ini tentunya menjadi fokus utama UTeM,” ujarnya ketika meninjau proses pendaftaran pelajar baharu di sini.
Mengulas tentang taburan angka pelajar baharu mengikut fakulti, beliau berkata, bagi Fakulti Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber (FAIX) seramai 352 orang yang mana 168 orang bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer(Kepintaran Buatan) dengan Kepujian dan 184 orang bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Komputer) dengan Kepujian.
“Seramai 681 orang pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan 653 orang di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).
“Sementara itu, seramai 750 orang pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan dan teknologi di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan 426 orang di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP).
“Bagi pelajar yang mendaftar mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 741 orang.
“Selebihnya mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) pula seramai 577 orang.
“Kesemua pelajar ini mengikuti Minggu Haluan Siswa (MHS) bermula 22 hingga 26 September” katanya lagi.
Terdahulu, seramai 1,178 pelajar diploma telah berdaftar menyambung pengajian di UTeM pada bulan Julai lalu.
Sementara itu, kumpulan pelajar baharu menerusi proses rayuan pula dalam anggaran seramai 250 orang dijangka akan mendaftar di UTeM pada 5 Oktober nanti. – UTUSAN











