PETALING JAYA: Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengakui melakukan dua kesilapan ketika berdepan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam perseteruan politik sebelum ini.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, hal ini setelah beliau mengikuti ucapan dasar Ahmad Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 dari awal sehingga tamat.
Katanya, beliau berlawan dengan Ahmad Zahid kerana disebabkan pemimpin itu mahu mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri dan bekerjasama dengan DAP serta Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.
“Saya lawan dia kerana tidak mahu UMNO menjadi rosak dan ditolak orang Melayu.
“Dan tidak percaya dengan dakwaan Datuk Seri Zahid mengenai sikap khianat Pas apabila Pas mengkhianati UMNO dalam Muafakat Nasional (MN),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Namun, katanya, beliau mengakui silapnya pada hari ini kerana sangkaan tersebut tidak tepat.
“Hari ini, atas kapasiti diri saya sebagai bekas ahli UMNO, ternyata saya silap dan Datuk Seri Zahid benar mengenai sikap khianat dan pengkhianatan Pas, kerana saya menyaksikan sendiri ia berlaku terhadap Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
“Tindakannya mengangkat Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri dan bekerjasama dengan DAP dan PH, kerana UMNO menjadi semakin kuat berbanding pada 2018 dan 2022, masih mendapat sokongan orang Melayu,” katanya. – UTUSAN










