Tradisi ubi jadi rekod Asia, ASEAN

Tradisi ubi jadi rekod Asia, ASEAN

Yanice (dua dari kiri) menunjukkan pengiktirafan Rekod Asia dan ASEAN sempena MIHAS di Kuala Lumpur pada Khamis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bermula dengan ubi keledek yang dekat dengan kehidupan masyarakat tempatan, sebuah syarikat dari Ipoh kini membawa bahan tradisi itu ke pentas lebih besar apabila snek keluarannya diiktiraf sebagai Rekod Asia dan ASEAN.

Double Triple Sweet Potato keluaran CWP Food Manufacturing Sdn Bhd mencipta kelainan apabila diiktiraf sebagai snek ubi keledek halal pertama yang menggabungkan dua varieti ubi berwarna berbeza dalam sekeping kerepek.

Pengiktirafan itu diterima sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) semalam, sekali gus mengangkat produk berasaskan bahan tempatan itu ke pentas antarabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih menarik, pencapaian tersebut bukan sekadar mengenai rekod apabila produk berkenaan turut dilengkapi pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), menjadikan inovasi dan pematuhan halal sebagai antara kekuatannya.

Pengarah Urusan CWP Food Manufacturing Sdn Bhd, Yanice Cheong Ming Yan berkata, pencapaian itu membuktikan sesuatu yang lahir daripada tradisi tempatan masih boleh diberi nafas baharu tanpa menghilangkan identitinya.

“Kami mahu mengekalkan pengetahuan dan tradisi yang diwarisi, tetapi pada masa sama bergerak seiring generasi baharu dengan menghasilkan sesuatu yang lebih inovatif,” katanya.

CWP yang ditubuhkan pada 2008 di Ipoh kini berkembang sebagai pengeluar snek, selain menyediakan perkhidmatan OEM serta ODM kepada pelanggan dan pengedar antarabangsa.

Produk berkenaan menggabungkan ubi keledek ungu dan oren dalam sekeping kerepek, dengan kedua-dua warna menawarkan karakter rasa yang berbeza untuk memberikan pengalaman unik kepada pengguna.

Yanice berkata, ubi keledek ungu memberikan rasa lebih manis, manakala bahagian oren pula mempunyai cita rasa savuri, sekali gus menghasilkan gabungan rasa yang saling melengkapi.

“Kami memang menyukai rasa dan tekstur ubi keledek. Ia juga mempunyai aroma serta rasa umami tersendiri, sebab itu kami memilihnya berbanding bahan lain,” katanya.

Menariknya, bahan utama itu diperoleh daripada petani tempatan di Ipoh, menjadikan perjalanan produk berkenaan bermula daripada hasil bumi tempatan sebelum dibawa ke pasaran lebih luas.

Snek ubi keledek Double Triple Sweet Potato jenama Snackiss.

Keunikan Double Triple Sweet Potato turut diterjemahkan menerusi namanya apabila Double merujuk kepada dua perisa dan warna dalam satu kerepek, manakala Triple membawa maksud hanya tiga bahan digunakan.

CWP menyifatkan pendekatan itu sebagai usaha menghasilkan snek berasaskan tumbuhan yang ringkas, selain memenuhi kecenderungan pengguna yang semakin mencari pilihan makanan dengan bahan yang lebih mudah.

Produk keluaran syarikat itu kini sudah menembusi pasaran Singapura, Hong Kong, Taiwan dan China, sekali gus menunjukkan snek berasaskan ubi tempatan mampu mendapat tempat di luar negara.

CWP kini turut memperluas pasaran ke Jepun dan merancang membawa produk berkenaan ke Filipina, membuka laluan baharu kepada jenama SNACKISS untuk berkembang di rantau Asia.

Yanice berkata, sambutan daripada pasaran luar negara menjadi pencetus kepada syarikat untuk terus mencipta produk yang mempunyai identiti tersendiri dan tidak sekadar mengikut arus pasaran.

“Keistimewaan kami ialah pengguna boleh mendapatkan dua rasa dan pengalaman berbeza dalam satu kerepek, dan itulah sesuatu yang kami mahu terus tawarkan kepada pelanggan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×