KUALA LUMPUR: Penyanyi, Misha Omar memaklumkan dia menyambut baik reaksi positif peminat yang mendoakan agar dia bertudung setelah melihatnya berhijab ketika membuat persembahan di Perlis baru-baru ini.
Pemilik nama penuhnya Samihah @ Aisah binti Omar, 44, berkata dia membaca pelbagai komen mengenai penampilan tersebut termasuk pandangan positif dan negatif, namun memilih untuk menerimanya dengan hati terbuka.
“Saya ada membaca komen positif dan negatif berkenaan penampilan saya itu dan saya terima dengan hati yang terbuka,” jawabnya ketika ditemui di konsert separuh akhit Kilauan Emas Selebriti semalam.
Penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu barkata itu bukan pertama kali dia bertudung kerana sebelum pernah tampil dengan imej sama ketika menjayakan persembahan di sebuah acara.
“Sebelum ini saya pernah menyanyi untuk bank patuh syariah dan mengenakan tudung.
“Jadi sebenarnya tugas sebagai penyanyi, apa saja garis panduan yang diberikan, kita cuba berikan yang terbaik,” ujarnya.
Mengulas mengenai reaksi peminat yang rata-rata memuji penampilannya, Misha berkata, sokongan serta doa diterima membuatkannya berasa lebih terinspirasi.
“Rasa bangga, rasa terinspirasi dan rasa syukur didoakan oleh netizen.
“Dalam hati rasa bersyukur sangat. Semuanya mendoakan yang baik-baik untuk saya, jadi saya terima dengan baik semua doa-doa itu,” katanya lagi.











