Teknologi BIM projek Pan Borneo berjaya atasi 3,000 kesilapan, selamatkan RM157 juta

Teknologi BIM projek Pan Borneo berjaya atasi 3,000 kesilapan, selamatkan RM157 juta

ALEXANDER Nanta Linggi bersama Hannah Yeoh melancarkan Hala Tuju BIM Putrajaya 2050 pada Majlis Perasmian Malaysia BIM Day 2026 'Putrajaya Digital Built' di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penerapan teknologi Building Information Modelling (BIM) dalam projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak berjaya menjimatkan sehingga RM157 juta wang kerajaan selepas lebih 3,000 kesilapan lukisan berjaya dikenal pasti dan diselesaikan.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Azman Ibrahim berkata, penggunaan BIM dalam projek berkenaan pada 2016 turut berjaya mengatasi masalah ‘clashes’ atau pertembungan dalam reka bentuk yang berpotensi menyebabkan kelewatan projek lebih 10 tahun.

Beliau berkata, manfaat penerapan BIM turut dapat dilihat menerusi operasi Makmal BIM yang membolehkan proses kelulusan pelan perancangan dipercepatkan daripada kira-kira 14 hari kepada hanya 14 jam.

Jelasnya, pencapaian itu diperoleh tanpa penggunaan kecerdasan buatan (AI), namun pada masa hadapan, KKR akan menggabungkan penggunaan teknologi tersebut bagi mempercepatkan lagi proses berkenaan.

“Kalau kata dulu kita ambil lebih kurang 14 hari ataupun dua minggu, tetapi dengan ada pelaksanaan menggunakan BIM, kita berjaya kurangkan dari segi proses kelulusan itu,” katanya selepas pelancaran Malaysia BIM Day 2026: Putrajaya Digital Built yang dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azman berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memperluaskan kemudahan Makmal BIM di seluruh negara bagi membantu kontraktor dan konsultan menggunakan teknologi berkenaan selain mengurangkan beban kos mendapatkan perisian.

Katanya, sebanyak RM83.3 juta diperuntukkan bagi pembinaan Makmal BIM di seluruh negara, termasuk di JKR Sabah dan Sarawak serta kemudahan di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Perbadanan Putrajaya.

Tambahnya lagi, usaha itu merupakan sebahagian daripada langkah KKR untuk meningkatkan penggunaan teknologi bagi memperkukuh daya saing negara dalam konteks perancangan bandar dan industri pembinaan.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk membangunkan 16 Makmal BIM dengan kos RM40.2 juta bagi memberi pendedahan kepada pihak industri pembinaan mengenai kepentingan keselamatan menggunakan teknologi terkini.

Jumlah itu akan digunakan untuk reka bentuk 3D secara proses kolaborasi pintar untuk membina bangunan, jalan, jambatan dan lain-lain bermula daripada pembinaan sehingga penyelenggaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×