PETALING JAYA: UMNO boleh menarik sokongan terhadap Kerajaan Madani jika mahu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan dalam masa terdekat, berbanding terus menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempercepatkan pilihan raya itu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, langkah berkenaan lebih sesuai kerana UMNO sendiri mempunyai wakil dalam kerajaan pimpinan Anwar ketika ini.
“Kalau UMNO boleh tarik sokongan kerajaan Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa tahun lalu, dia boleh tarik sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN daripada Kerajaan pimpinan Anwar.
“Jika jumlah sokongan itu tidak mencukupi, Ahmad Zahid boleh melobi Warisan, GRS dan GPS supaya menarik sokongan terhadap Anwar Ibrahim.
“Ini lebih gentleman dan demokratik dengan membentang usul tidak percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam sidang Parlimen yang akan berlangsung mulai 5 Oktober depan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengulangi gesaan supaya PRU16 disegerakan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 tamat tahun depan.
Presiden UMNO itu menegaskan mandat perlu dipulangkan kepada rakyat dan parti diterajuinya bersedia berdepan lawan politik di medan PRU16.
Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, pemimpin BN yang berada dalam kerajaan tetapi tidak berpuas hati dengan mana-mana dasar sepatutnya membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet.
“Bukannya menggunakan pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 untuk menghina, sedangkan mereka juga ada tanggungjawab bersama dalam kerajaan.
“Jika mereka rasa sudah tidak boleh berada dalam kerajaan, saya rasa lebih baik mereka ‘angkat kaki’, itu yang terbaik.
“Kalau mereka hendak ‘perang’, tidak bolehlah duduk dalam kerajaan. Isytiharlah perang, letak sempadannya di mana. Buat apa nak berperang dalam kubu yang sama ketika ini atau menebang pokok yang sedang diteduhi bersama,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, ucapan dasar Ahmad Zahid pada pentas PAU 2026 hanya retorik dan usaha menaikkan semangat dalam kalangan ahli parti itu.
Menurutnya, realitinya masih agak sukar untuk UMNO atau BN menarik diri daripada Kerajaan Madani.
“Keadaan itu disebabkan Kerajaan Madani mempunyai 150 ahli Parlimen, manakala UMNO BN hanya mempunyai 30 ahli Parlimen.
“Kalau UMNO, BN keluar, Kerajaan Madani akan berterusan dengan majoriti 120 dan semua peruntukan dan punca kuasa sebagai ahli kerajaan akan hilang,” katanya.-UTUSAN










