KUALA LUMPUR: Tempoh pengosongan kediaman bagi penduduk Blok D di sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana, Cheras di sini susulan insiden tanah runtuh malam tadi, dijangka bergantung kepada laporan penilaian keselamatan struktur iaitu sama ada bangunan terbabit masih selamat untuk diduduki atau sebaliknya.
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 6, Tan Kah Hoe berkata, laporan berkenaan pula juga dijangka mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan.
Menurut beliau, agensi teknikal dalam penyediaan laporan penilaian itu melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
“Ia bergantung kepada laporan daripada agensi-agensi teknikal yang saya sebutkan tadi, iaitu JKR, JPS, dan JMG, kerana ketika ini kita masih belum mengetahui sama ada struktur bangunan itu masih selamat untuk didiami atau tidak.
“Saya sedang mendesak agensi-agensi berkenaan supaya laporan itu disiapkan secepat mungkin. Mereka memaklumkan ia dijangka mengambil masa beberapa hari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, kira-kira 80 penduduk membabitkan 45 unit kediaman di Blok D pangsapuri berkenaan diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing serta-merta susulan runtuhan cerun berhampiran bangunan itu yang dilaporkan berlaku pada kira-kira 8 malam tadi.
Penduduk yang terjejas akan ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Desa Baiduri.-UTUSAN











