KAJANG: Sebanyak 45 unit rumah di Blok D, Pangsapuri Damai Perdana membabitkan 82 penghuni diarahkan dikosongkan demi keselamatan susulan kejadian tanah runtuh malam tadi.
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 6, Tan Kah Hoe berkata, sebagai langkah awal kecemasan, MPKj menutup kawasan cerun yang terjejas menggunakan kanvas bagi mengurangkan risiko pergerakan tanah berulang.
Menurutnya, pemeriksaan awal turut mengesahkan kawasan runtuhan berkenaan berada di bawah seliaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri terbabit.
“Pihak JMB yang masih beroperasi secara aktif kini sedang membuat semakan dengan pihak insurans bagi memastikan sama ada insiden kegagalan cerun ini dilindungi di bawah polisi sedia ada,” katanya ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.
Katanya,penduduk yang terjejas akan ditempatkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Desa Baiduri.
Jelasnya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti tahap keselamatan struktur Blok D yang terjejas.
“Siasatan itu dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) serta MPKj.
“Buat sementara ini, JKR, MPKj dan JMG akan menjalankan siasatan terlebih dahulu. Setakat ini, kami belum menerima sebarang ulasan daripada pihak berkenaan.
“Kami akan membuat susulan dengan mereka bagi menentukan sama ada struktur bangunan ini masih selamat untuk diduduki,” jelasnya.
Beliau berkata, laporan teknikal daripada agensi terbabit dijangka diperoleh secepat mungkin.
Dalam pada itu, katanya, dakwaan berhubung kebocoran paip yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian runtuhan turut sedang disiasat oleh pihak JMG.
“Pangsapuri ini mempunyai empat blok dengan keseluruhan 360 unit kediaman,” katanya.-UTUSAN











