TANJUNG MALIM: Projek berimpak tinggi Taman Teknologi Tinggi Tanjong Malim merupakan antara pemangkin Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) untuk menjadikan negeri ini sebagai hab automatif serantau.
Merangkumi kawasan seluas 180.89 hektar dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.4 bilion, Taman Teknologi Tinggi Tanjong Malim dibangunkan sebagai ekosistem perindustrian mampan yang terdiri daripada tanah perindustrian, komponen komersial dan kemudahan sokongan.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, perkembangan positif itu akan merancakkan pembangunan Tanjung Malim dengan kilang-kilang dan taman-taman perindustrian yang menggamit kehadiran pelabur.
“Proton telah memindahkan operasi dari Shah Alam ke Bandar Proton dan mereka telah pun membina kilang pertama kereta elektrik di Malaysia yang telah pun memulakan pengeluaran.
“Kemudian kita ada KLK TechPark dan Taman Teknologi Tinggi Tanjong Malim yang dibangunkan oleh Setia Awan Land Sdn. Bhd. (Setia Awan),” katanya .
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi dan Majlis Pecah Tanah Taman Teknologi Tinggi Tanjong Malim di sini hari ini.
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Setia Awan, Datuk Marcus Doh.
Katanya, taman teknologi itu memberi ruang kepada pelabur tempatan dan antarabangsa melabur yang mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Kebanjiran pekerja-pekerja ini akan juga membangunkan kawasan. Paling penting ialah kawasan perumahan, perniagaan, gedung-gedung dan juga logistik termasuk pengangkutan serta lain-lain perkhidmatan.
“Bagi fasa pertama (Taman Teknologi Tinggi Tanjong Malim) sebanyak 42.08 hektar sedang dibangunkan dengan kira-kira 50 peratus kadar pengambilan oleh pelabur,” katanya. – UTUSAN











