Sukan Asia: Malaysia buru lebih sembilan emas untuk rekod baharu negara

Sukan Asia: Malaysia buru lebih sembilan emas untuk rekod baharu negara

SKUAD sepak takraw negara menghadiahkan emas keempat buat Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Thailand 2-0 dalam acara regu berpasukan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Malaysia memburu sekurang-kurangnya empat lagi pingat emas dalam Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 bagi mencipta rekod baharu negara selepas sasaran enam pingat emas telah berjaya dicapai.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kontinjen negara pernah meraih sembilan pingat emas dalam edisi sebelum ini dan sekiranya berjaya membawa pulang lebih daripada jumlah itu, ia kejayaan baharu.

Beliau berkata, masih terdapat beberapa acara yang belum selesai dan atlet negara diharap terus bersemangat untuk menambah koleksi pingat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita yakin mampu menang lebih sembilan pingat emas seperti mana telah diperolehi skuad negara sebelum ini dan jika berjaya, ini merupakan satu sejarah baharu dalam penyertaan Sukan Asia.

“Bagaimanapun, sasaran pingat iaitu enam emas telah dicapai dan lain-lain itu merupakan bonus atas usaha dan juga kerja keras atlet-atlet kita. Jadi kita sangat optimis dan sangat-sangat menantikan keputusan yang baik itu,” katanya selepas perasmian majlis penyerahan Projek Sekolah Angkat Madani KBS di sini, hari ini.

Setakat ini, kontinjen Malaysia mengumpul enam pingat emas, dua perak dan lapan gangsa, menjadikan keseluruhan 16 pingat dan berada di kedudukan ke-10 carta kutipan pingat.

Sementara itu, atlet yang berjaya menyumbang pingat kepada negara akan menerima ganjaran menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) selain ganjaran kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod baharu.

Dalam perkembangan lain, Mohammed Taufiq berkata, kerja naik taraf dan baik pulih Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini mencapai 90 peratus dan berada pada landasan baik menjelang penganjuran Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix pada Oktober ini.

Katanya, persiapan membabitkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk aspek protokol serta keselamatan kini sedang diselaraskan bagi memastikan penganjuran F1 berjalan lancar.

“Kita sudah berbincang dengan semua jawatankuasa yang dibentuk, tidak hanya di peringkat KBS tetapi di semua kementerian-kementerian yang lain dan semuanya berada dalam keadaan yang baik. Insya-Allah, kita doa agar ia berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, Mohammed Taufiq berkata, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi menarik taraf gelanggang serbaguna di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Keladi Taman Keladi.

“Ini juga membantu mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar kerana kalau kita berikan infrastruktur dan kemudahan sukan di sekolah, ia menjadi salah satu platform untuk melahirkan lebih ramai atlet negara yang mampu ke peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×