Skim bantuan padi lebih bela syarikat, bukan petani – Sanusi

Skim bantuan padi lebih bela syarikat, bukan petani – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Skim bantuan penanaman padi yang sepatutnya menjadi talian hayat pesawah didakwa lebih banyak membela kepentingan syarikat pembekal input pertanian berbanding golongan petani sendiri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu perlu menjadi antara aspek yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Menurutnya, masalah berkaitan baja, benih dan racun bukan perkara baharu, malah berulang sejak sekian lama meskipun kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan bagi membantu sektor tanaman padi.

“Akhirnya yang terbela dalam skim bantuan penanam padi ini adalah syarikat-syarikat, bukan petani.

“Orang buat bendang tak tengok pun duit (subsidi) itu. Terus pi kepada baja, terus kepada racun, terus kepada traktor. Ia lalu terus saja, tidak lintas dalam poket kita (petani) pun,” katanya selepas melancarkan Program Bakti Siswa Perdana Negeri Kedah 2026, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada mekanisme bantuan sedia ada benar-benar mencapai matlamat asalnya untuk meningkatkan kebajikan dan pendapatan pesawah.

Katanya, siasatan SPRM tidak seharusnya hanya tertumpu kepada kelewatan satu bekalan atau kontrak, sebaliknya perlu melihat keseluruhan sistem pengurusan subsidi dan bantuan input pertanian.

“Siasat betul-betul. Tengok betul-betul. Kalau pun tak ada tangkapan, bagilah pedoman, beri penambahbaikan. Apa pandangan SPRM untuk menambah baik sistem ini.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi respon segera. Pastikan manfaat skim subsidi kerajaan ini sampai kepada petani, bukan sampai kepada peniaga, bukan sampai kepada usahawan atau syarikat,” katanya.

Beliau berkata, isu kelewatan baja juga perlu dilihat dalam konteks lebih besar kerana input pertanian seperti baja, benih dan racun mempunyai kaitan langsung dengan hasil tanaman serta pendapatan pesawah.

Menurutnya, kegagalan mengurus bekalan pada masa diperlukan boleh menyebabkan pesawah menanggung kerugian, sedangkan pihak yang sepatutnya memastikan sistem itu berfungsi tidak berdepan kesan sama.

Muhammad Sanusi turut mencadangkan supaya mekanisme penyaluran bantuan dikaji semula bagi memastikan manfaatnya diterima pesawah mengikut keperluan sebenar di lapangan.

Katanya, pandangan pesawah perlu diberi perhatian dalam merangka kaedah pengagihan bantuan kerana mereka lebih memahami keperluan operasi penanaman padi, termasuk masa dan jenis input yang diperlukan.

“Kalau duduk dengan orang buat bendang, saya rasa mereka lebih faham daripada orang yang mengawal industri. Baja nak beli di mana, benih nak buat di mana, beli bila, bulan berapa. Mereka lebih faham,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×