PETALING JAYA: Kerajaan digesa menyiasat dakwaan campur tangan asing dalam operasi politik digital bagi mengenal pasti pihak yang membiayai dan mengarahkan kegiatan berkenaan seperti didedahkan dalam laporan Anthropic.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fadzmel Fadzil berkata, siasatan menyeluruh perlu dibuat melalui penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan CyberSecurity Malaysia.
Beliau berkata, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, pihak yang membiayai, mengarahkan dan mendapat manfaat daripada operasi berkenaan perlu dikenal pasti.
Katanya, ini bagi memastikan pihak didakwa dapat dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan atau kecenderungan politik.
“Tidak boleh kata siasat tetapi kemudian diam seribu bahasa. Rakyat berhak mengetahui kebenaran.
“Justeru, saya menggesa satu siasatan menyeluruh digerakkan dengan segera bersama PDRM, NACSA, SPR, Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan CyberSecurity Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadzmel turut menggesa MCMC dan Kementerian Komunikasi memberikan penjelasan terperinci sama ada syarikat berkenaan pernah menghubungi, membuat pembentangan atau mengemukakan cadangan kepada MCMC.
“Siapakah yang ditemui? Apakah perkhidmatan yang ditawarkan? Dari manakah data jutaan rekod pengundi itu diperoleh?
“Siapakah pula yang meminta satu juta tontonan palsu bagi menyokong akaun Perdana Menteri?” soalnya.
Menurutnya, MCMC sebelum ini menyatakan kegiatan yang didedahkan dalam laporan Anthropic bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat malah pihaknya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan atau pengaturan sedemikian.
Bagaimanapun, katanya, penafian semata-mata tidak memadai bagi perkara yang didakwa mempunyai kaitan dengan kedaulatan negara dan keselamatan ruang digital.
“Kita tidak mahu kredibiliti MCMC, Kementerian Komunikasi dan institusi kerajaan terjejas disebabkan perbuatan sebuah syarikat atau segelintir individu.
“Kredibiliti institusi tidak dipertahankan melalui penafian sahaja. Ia dipertahankan melalui ketelusan, siasatan yang bebas dan tindakan yang tegas.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran. MCMC dan Kementerian Komunikasi perlu memberikan perkembangan lanjut dengan segera bukan membiarkan persoalan sebesar ini berlalu begitu sahaja,” katanya.
Terdahulu,satu laporan Anthropic mendakwa sebuah syarikat teknologi berpangkalan di Istanbul pernah berusaha mendapatkan kontrak dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Laporan berkenaan turut mendakwa operasi itu menggunakan jutaan rekod pengundi, memprofilkan kesemua 222 kawasan Parlimen, mengendalikan lebih 1,000 akaun palsu serta menghasilkan kandungan dan interaksi politik secara tidak tulen.- UTUSAN










