KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara sentiasa memantau aspek keselamatan dan kawalan di institusi penjara di seluruh negara bagi mengenal pasti serta menangani sebarang risiko, ancaman atau pelanggaran peraturan.
Jabatan Penjara memaklumkan aspek keselamatan, kawalan, disiplin dan kebajikan penghuni penjara sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan institusi penjara.
Katanya, operasi dilaksanakan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk kawalan keselamatan, pemeriksaan, pemantauan serta tindakan terhadap sebarang pelanggaran peraturan.
“Selain itu, Jabatan Penjara turut melaksanakan aktiviti perisikan, pemantauan dan semakan secara berterusan berkaitan aspek keselamatan dan pematuhan peraturan di institusi penjara bagi mengenal pasti sebarang risiko, ancaman atau pelanggaran peraturan.
“Langkah itu juga membolehkan tindakan pencegahan dan penguatkuasaan diambil dengan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jabatan Penjara berkata, pihaknya tidak menafikan salah laku atau kejadian terpencil boleh berlaku dalam mana-mana institusi.
Bagaimanapun, setiap kejadian yang dikenal pasti akan ditangani mengikut peraturan dan SOP berkuat kuasa serta berada di bawah kawalan pihak berkuasa penjara.
Menurut kenyataan itu, sebarang maklumat, aduan atau dakwaan berkaitan salah laku, pelanggaran undang-undang atau kemasukan artikel larangan ke institusi penjara perlu dilaporkan kepada polis atau saluran rasmi berkaitan.
Langkah itu, katanya bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan.
“Jabatan Penjara Malaysia sentiasa terbuka terhadap sebarang maklumat yang boleh membantu memperkukuh sistem keselamatan dan pengurusan penjara.
“Pada masa yang sama, sebarang dakwaan hendaklah disalurkan melalui saluran yang sewajarnya supaya ia dapat disahkan dan ditangani berdasarkan fakta serta bukti,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, orang ramai turut disarankan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih dan berautoriti serta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Ia khususnya membabitkan perkara yang boleh menimbulkan kekeliruan atau menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap sistem pemasyarakatan negara.
Tambah kenyataan itu, Jabatan Penjara turut memperkemas dan menambah baik SOP, kawalan keselamatan, perisikan serta mekanisme pemantauan dari semasa ke semasa.
“Usaha itu bagi memastikan institusi penjara kekal selamat, terkawal dan kondusif selaras dengan aspirasi jabatan sebagai ‘Peneraju Perkhidmatan Korektif’ yang berintegriti, profesional dan berteraskan pemulihan,”jelasnya.
Terdahulu, penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman, menerusi beberapa podcast dan temu bual berkongsi pengalamannya ketika berada di penjara, termasuk mendakwa wujud penyalahgunaan dadah, hierarki atau ‘kasta’ dalam kalangan banduan serta layanan yang boleh dipengaruhi wang dan pengaruh.
Semalam, Pengarah Kanan Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara Malaysia, Mohamad Rosidek Musa, menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan institusi penjara mempunyai SOP serta peraturan bagi menangani salah laku dan perkara negatif.
Yasin kemudian menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada Jabatan Penjara atas kekeliruan yang timbul, selain mengakui dakwaan dibuatnya sebelum ini tidak benar. – UTUSAN











