KETIADAAN peruntukan kewangan kepada ahli Parlimen pembangkang tidak pernah dijadikan alasan oleh Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit untuk mengabaikan kebajikan rakyat di kawasan diwakilinya.
Sebaliknya, demi memastikan keperluan rakyat terus diberi perhatian, beliau memperuntukkan kira-kira 30 peratus daripada elaun bulanannya sebagai ahli Parlimen untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Sabri berkata, amalan itu diteruskan sejak beliau pertama kali dipilih sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 dan akan diteruskan sepanjang penggal kedua perkhidmatannya.
Menurutnya, kemenangan dengan majoriti 33,192 undi pada PRU15, empat tahun lalu adalah satu amanah besar yang perlu dibalas dengan khidmat kepada rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Selepas menang dalam pilihan raya, saya beranggapan rakyat bukan sahaja mahukan pemimpin yang disenangi, tetapi mereka juga mahu kita bersama-sama berteduh di bawah payung yang sama.
“Sebagai tanda terima kasih kepada pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum, saya seboleh-bolehnya mahu memenuhi keperluan mereka, terutama ketika berdepan saat sukar, termasuk menggunakan sebahagian daripada elaun saya sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sabri yang merupakan bekas guru dan bapa kepada 10 anak berkata, beliau turut mengamalkan pendekatan tanpa jurang ketika berurusan dengan rakyat, termasuk memastikan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Jerai sentiasa terbuka kepada semua.

Katanya, orang ramai tidak perlu menunggu program rasmi untuk menyampaikan masalah kerana beliau boleh ditemui secara terus atau melalui kakitangan di pusat khidmat berkenaan di Taman Cempedak Indah, Guar Chempedak.
“Pengundi boleh menyuarakan sebarang masalah di mana sahaja, sama ada ketika bertemu saya secara kebetulan di jalanan atau ketika berurusan dengan kakitangan di pusat khidmat.
“Saya sama sekali tidak akan bertolak ansur jika mendapati kakitangan sengaja mewujudkan jurang ketika berurusan dengan rakyat daripada mana-mana kaum kerana itu bukan cara saya bekerja selama hampir 10 tahun menjadi wakil rakyat,” katanya.
Bagi Sabri, khidmat sebagai wakil rakyat bukan sekadar menghadiri program rasmi atau menyampaikan bantuan, sebaliknya turun melihat sendiri denyut nadi rakyat serta mencari penyelesaian terhadap masalah yang mereka hadapi.
“Selagi diberi amanah, saya akan cuba sedaya upaya untuk berada bersama rakyat,” katanya.
Nasib pesawah terus diberi perhatian
Beliau berkata, sebagai wakil rakyat di kawasan yang sebahagian penduduknya bergantung kepada sektor pertanian, khususnya penanaman padi, nasib pesawah perlu terus diberi perhatian bagi memastikan mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih stabil.
Menurutnya, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan agensi berkaitan dan pemain industri pertanian supaya keperluan pesawah, termasuk beberapa bentuk subsidi, terus diberi perhatian.
“Penghijrahan anak muda ke bandar menyebabkan kebanyakan petani kini terdiri daripada warga emas. Mereka memerlukan sokongan dan bantuan secara berkala daripada kerajaan bagi memudahkan usaha menjana pendapatan serta menyara keluarga.
“Jadi, kita perlu memastikan golongan ini tidak tercicir dan terus mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Mahu pulihkan semula sektor pelancongan Yan

Dalam pada itu, Sabri yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Jerai dan Ahli Jawatankuasa Perhubungan Pas Kedah mahu melihat daerah Yan kembali menjadi antara destinasi pelancongan utama di Kedah.
Katanya, beberapa lokasi peranginan di daerah itu masih terkesan akibat tragedi kepala air pada Ogos 2021 dan usaha pemulihan perlu dipergiatkan bagi mengembalikan semula denyut nadi pelancongan setempat.
“Kita sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dan sedang mencari jalan untuk mengembalikan semula Yan sebagai tarikan pelancongan, termasuk melalui kerja baik pulih beberapa pusat peranginan yang rosak akibat kejadian itu.
“Jika usaha ini berjaya, banyak penduduk akan memperoleh manfaat kerana mereka boleh menjadi pengusaha inap desa, peniaga dan pekerja di pusat peranginan untuk menjana pendapatan,” katanya.-UTUSAN








